Inflasi Malaysia meningkat 1.2 peratus pada Julai 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.7 berbanding 133.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Indeks Harga Pengguna Julai 2025 menjelaskan bahawa kenaikan ini dipacu terutamanya oleh kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan yang melonjak 5.5 peratus berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Selain itu, kumpulan Restoran & Perkhidmatan Penginapan turut mencatatkan peningkatan 3.1 peratus Jun 2025: 2.8%, manakala kumpulan Pengangkutan naik 0.4 peratus berbanding 0.3 peratus pada Jun 2025. Bagaimanapun, kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat lebih perlahan 1.9 peratus pada Julai 2025 berbanding 2.1 peratus bulan sebelumnya. Penyederhanaan ini dipengaruhi oleh penurunan inflasi subkumpulan Makanan di rumah yang berada pada paras negatif 0.3 peratus, dengan penyumbang utama datang daripada harga sayur-sayuran, susu dan produk tenusu, telur, daging serta bijirin.

Bagi kategori sayur-sayuran, penurunan harga ketara direkodkan pada tomato -22.1% , kubis -13.3%, petola -10.4% dan sawi -9.0% berbanding tahun sebelumnya. Purata harga ayam standard Malaysia turut menurun kepada RM10.25 sekilogram berbanding RM10.35 sekilogram pada Julai 2024, manakala di Semenanjung Malaysia purata harga ayam standard berada pada RM9.43 sekilogram.
Sebaliknya, beberapa kategori makanan lain mencatatkan peningkatan, antaranya ikan dan makanan laut, minyak dan lemak serta gula dan manisan. Subkumpulan Makanan di luar rumah juga kekal menyumbang kepada kenaikan inflasi walaupun pada kadar lebih perlahan iaitu 4.3 peratus berbanding 4.7 peratus pada Jun 2025.
Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain pula menyederhana kepada 1.3 peratus Jun 2025: 1.7%, dipengaruhi oleh penurunan dalam subkumpulan elektrik, gas dan bahan api susulan pelaksanaan tarif baharu di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif IBR bermula 1 Julai 2025. Manakala kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menyederhana kepada 3.9 peratus berbanding 4.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Bagi kumpulan pengangkutan, kenaikan didorong oleh peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam sebanyak 1.5 peratus, manakala harga bahan api RON97 dan diesel kekal pada jajaran negatif masing-masing -7.8 peratus dan -7.1 peratus. Purata harga RON97 pada Julai 2025 direkodkan RM3.20 seliter berbanding RM3.47 pada Julai 2024, manakala purata harga diesel di Semenanjung Malaysia ialah RM2.89 seliter.
Mengikut negeri, empat negeri merekodkan inflasi lebih tinggi daripada paras nasional iaitu Johor 1.8%, Selangor 1.5%, Negeri Sembilan 1.4% dan Melaka 1.3%. Kelantan pula mencatatkan inflasi terendah iaitu sifar peratus. Kesemua negeri merekodkan peningkatan inflasi makanan & minuman kecuali Kelantan yang berada pada paras negatif -0.1 peratus.
Secara bulanan, inflasi keseluruhan meningkat 0.1 peratus berbanding Jun 2025, dipacu oleh Insurans & Perkhidmatan Kewangan 4.6%, Restoran & Perkhidmatan Penginapan 0.8% dan Kesihatan 0.3%. Walaupun begitu, penurunan dalam kategori Maklumat & Komunikasi, Perumahan serta Makanan & Minuman sedikit sebanyak meredakan tekanan inflasi. Inflasi teras pula kekal stabil pada 1.8 peratus, disokong oleh peningkatan dalam kumpulan Insurans, Penjagaan Diri serta Restoran.
Jika dibandingkan dengan negara serantau, kadar inflasi Malaysia 1.2% lebih rendah berbanding Vietnam 3.2%, Indonesia 2.4% dan Republik Korea 2.1%, tetapi lebih tinggi daripada Filipina 0.9%, China 0.0% dan Thailand yang mencatatkan deflasi -0.7 peratus.
Dalam pada itu, Malaysia terus menunjukkan pencapaian dalam bidang statistik apabila buat julung kalinya menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan Open Data Inventory 2024/25, mengatasi 197 negara lain. Pencapaian ini merupakan lonjakan besar berbanding kedudukan ke-67 pada 2022/23.
Sempena pengiktirafan tersebut, kerajaan turut mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”. Pada masa sama, Malaysia akan menjadi tuan rumah Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 dalam usahanya memperkukuh kerjasama statistik serantau ke arah pembangunan mampan.