Thu. Nov 6th, 2025

Dalam dunia yang dikuasai kuasa dan pengaruh, kelemahan bukan lagi pilihan kerana hanya yang terkuat mampu bertahan. Itulah latar getir yang ditampilkan dalam Shark: The Storm, drama aksi dari Korea Selatan yang bakal menemui penonton secara eksklusif di Tonton bermula 29 Ogos 2025. Hadir sebagai sekuel kepada karya terdahulu, Shark: The Beginning (2021), siri kali ini menjanjikan lebih banyak ketegangan, dendam yang membara serta perjuangan hidup yang penuh liku.

Menampilkan gandingan pelakon berbakat besar seperti Kim Min-Seok, Lee Hyun-Wook, Bae Myung-Jin, Lee Jung-Hyun, Park Jin dan Jeong Da-Eun, drama ini membuka bab baharu kisah hidup Cha Woo-sol (lakonan Kim Min-Seok). Selepas melalui pengalaman hitam dalam prekuel terdahulu dan kini bebas dari penjara, Woo-sol cuba membina semula kehidupannya. Dia berpegang pada harapan untuk menjadi seorang pejuang seni bela diri campuran (MMA) profesional, sambil menghabiskan masa bekerja di sebuah gim bagi menampung kehidupannya. Namun, bayangan masa lalu sebagai bekas banduan terus menghantui langkahnya.

Takdir kembali menguji apabila satu sesi sparring berakhir dengan tragedi. Woo-sol tanpa sengaja mencederakan lawannya dengan teruk, sekali gus membuka jalan pertemuannya dengan Hyun Woo-yong (lakonan Lee Hyun-Wook), seorang ketua kongsi gelap yang mengawal liga pertarungan haram bawah tanah. Liga ini bukan sekadar gelanggang pertarungan biasa, sebaliknya digambarkan sebagai “ring of hell” yang dijadikan hiburan oleh golongan kaya dan berkuasa, dengan nyawa para petarung sebagai taruhan.

Melihat potensi yang dimiliki Woo-sol, Woo-yong cuba merekrutnya ke dalam organisasi tersebut. Namun penolakan Woo-sol mengundang padah apabila dia akhirnya menjadi buruan utama. Dalam usaha mempertahankan hidup serta melindungi orang yang disayanginya, Woo-sol dipaksa menyertai pertarungan yang jauh lebih berbahaya daripada apa yang pernah dibayangkannya. Prinsip hidup seekor jerung yang akan mati jika berhenti berenang menjadi peringatan utama dalam perjuangannya kali ini.

Dengan gabungan aksi mendebarkan, jalan cerita yang penuh emosi dan perkembangan watak yang mendalam, Shark: The Storm dijangka memberikan impak kuat kepada penonton. Drama ini akan menyingkap realiti gelap dunia bawah tanah, sambil memperlihatkan bagaimana seorang bekas mangsa buli berjuang menentang arus demi kelangsungan hidup. Jangan lepaskan peluang menyaksikan keenam-enam episod penuh secara serentak mulai 29 Ogos 2025, hanya di Tonton.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *