Wed. Oct 15th, 2025

Jika anda mencari pengalaman sinematik yang menyentuh hati dan meninggalkan kesan mendalam, karya-karya Yandy Laurens adalah pilihan tepat. Sebagai seorang pengarah dan penulis skrip yang berbakat, Yandy Laurens telah berjaya menghasilkan filem-filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyampaikan mesej dan nilai kehidupan yang penting. Penonton kini boleh menikmati karya-karya beliau sebelum menyaksikan filem terbaharu beliau, Sore: Istri Dari Masa Depan, yang dijadualkan tayang di pawagam Malaysia pada 25 September 2025.

Salah satu karya paling ikonik Yandy Laurens ialah Keluarga Cemara (2018), sebuah adaptasi daripada siri televisyen popular Indonesia. Filem ini mengisahkan tentang sebuah keluarga yang kehilangan segala harta mereka dan terpaksa memulakan hidup baru di sebuah desa. Dengan sentuhan khas Yandy, filem ini berjaya menggambarkan nilai kekeluargaan dan kasih sayang yang tulus, sehingga berjaya menarik lebih daripada 1.7 juta penonton. Kejayaan filem ini turut diiktiraf dengan memenangi pelbagai anugerah, termasuk Piala Citra dan Piala Maya, dan kini ia boleh ditonton melalui platform penstriman seperti Netflix.

Filem Falling in Love Like in Movies (2023) pula menampilkan kisah seorang penulis skrip filem romantik yang bertemu semula dengan cinta lamanya, berusaha meyakinkan bekas kekasihnya untuk jatuh cinta seperti dalam filem. Filem ini meraih tujuh anugerah Citra, termasuk kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Skrip Asal Terbaik, sekali gus membuktikan kemampuan Yandy Laurens dalam menyampaikan naratif cinta yang menyentuh perasaan penonton. Seperti karya sebelumnya, filem ini turut ditayangkan di Netflix.

Dalam 1 Kakak 7 Ponakan (2025), Yandy memperlihatkan sisi lain kehidupan dengan menceritakan kisah seorang lelaki muda yang terpaksa menjaga tujuh anak saudaranya selepas kematian kakak dan iparnya. Filem ini menekankan cabaran membesarkan anak-anak sambil mengekalkan kerjaya dan kehidupan peribadi, tema yang jarang diangkat tetapi relevan dengan masyarakat moden. Filem ini turut mendapat penghormatan sebagai penutup Festival Filem Jogja-NETPAC 2024 dan menerima liputan media kerana isu “sandwich generation” yang diketengahkan.

Filem terbaharu beliau, Sore: Istri Dari Masa Depan (2025), merupakan adaptasi daripada siri web 2017 yang menggabungkan elemen sains fiksyen romantik. Cerita mengisahkan seorang lelaki muda di Croatia yang bertemu dengan seorang wanita yang mengaku sebagai isterinya dari masa depan, membantu beliau mengubah gaya hidup serta perspektif hidupnya. Filem ini telah menarik perhatian ramai di pawagam Indonesia dan kini bakal ditayangkan di seluruh Malaysia mulai 25 September 2025.

Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios dengan bangganya membawa filem fenomena ini ke Malaysia, memberi peluang kepada peminat tempatan untuk menyaksikan karya Yandy Laurens yang unik dan memukau. Untuk mengikuti perkembangan terkini dan mendapatkan kandungan eksklusif, penonton digalakkan mengikuti platform sosial media Primeworks Studios seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *