Nama Asyraf Nasir semakin kukuh di persada muzik tempatan apabila penyanyi rap dan hip hop ini tampil dengan single terbaharunya berjudul “CINDERELLA”. Lagu ini membawa pendekatan segar, menukar kisah dongeng klasik yang sinonim dengan kasut kaca kepada sebuah naratif moden penuh keyakinan dan gaya.
“CINDERELLA” dilancarkan sebagai lagu ‘feel-good’ yang dikhususkan untuk mereka yang sering dipinggirkan atau dianggap sebagai ‘underdog’ dalam kehidupan. Bagi Asyraf, karya ini adalah simbolik kepada detik di mana seseorang yang sebelum ini terlepas pandang akhirnya melangkah ke depan dan menjadi tumpuan. Lebih menarik, mesej tersebut tidak disampaikan dalam nada dramatik, sebaliknya dengan nuansa nakal, seronok, serta penuh aura yakin diri.
“Asyraf menggambarkan CINDERELLA sebagai lagu untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir tetapi sedar bahawa mereka memiliki sesuatu yang istimewa. Ia adalah tentang saat di mana semua mata tertumpu kepada anda, dan anda menikmatinya sepenuh hati,” jelasnya ketika ditemui.
Kekuatan single ini terletak pada proses pembikinannya yang ringkas tetapi penuh tenaga. Dalam masa hanya dua hari, Asyraf dan penerbit prolifik SonaOne berjaya menyiapkan keseluruhan lagu, sebahagian besarnya menggunakan rakaman pertama atau ‘first take’. Menurut Asyraf, mereka tidak terlalu memikirkan struktur atau formula, sebaliknya membiarkan muzik mengalir secara spontan. “Apa yang anda dengar adalah hasil tangkapan babak sebenar di studio jujur dalam cara terbaik,” katanya.

Bekerja dengan SonaOne juga menjadi pengalaman berharga buat Asyraf. Dia menggambarkan kolaborasi tersebut seperti permainan ping pong idea, di mana kedua-duanya saling melontar kreativiti sehingga lagu itu benar-benar hidup. Tambahan pula, pembukaan lagu dengan bunyi ‘eccentric synth piano’ memberi keunikan tersendiri kerana ia diinspirasikan daripada sebuah lagu lama Malaysia yang diolah dengan nafas moden.
Lebih menarik, “CINDERELLA” bukanlah karya baharu sepenuhnya. Lagu ini sebenarnya bermula sebagai sebuah demo pada tahun 2020 dan kekal terngiang-ngiang di telinga Asyraf serta rakan pemuzik sepanjang lima tahun lalu. Versi akhir yang dilancarkan kini hampir tidak berubah daripada demo asal, kerana menurutnya keajaiban lagu itu sudah jelas sejak awal. Perbezaan hanya terletak pada adunan muzik yang lebih kemas hasil sentuhan KidKenobi, yang dipercayai Asyraf mampu mengekalkan rasa asli karya tersebut.
Sebagai trivia, tajuk asal lagu ini ialah “Condifento”, satu nama gurauan spontan ketika proses awal mencipta rentak. Namun, selepas melalui perjalanan panjang, Asyraf memilih “CINDERELLA” sebagai judul rasmi kerana lebih sesuai dengan kisah dongeng moden yang ingin diketengahkan.
Bagi Asyraf, single ini bukan sekadar sebuah lagu baharu tetapi juga pembuka tirai kepada era segar dalam kariernya. Dia merancang setiap karya selepas ini hadir dengan watak dan personaliti tersendiri, seolah-olah karakter dalam sebuah filem. “Saya mahu pendengar bukan sahaja mendengar lagu, tetapi turut tenggelam dalam fantasi dan dunia yang saya cipta,” tambahnya penuh semangat.
Dengan pelancaran “CINDERELLA” pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital, Asyraf Nasir membuktikan bahawa kisah dongeng boleh tampil dalam wajah hip hop yang moden, berani, dan penuh keyakinan. Lagu ini menandakan permulaan kepada perjalanan muzik yang lebih berwarna-warni buat penyanyi rap muda ini.