Sat. Jul 26th, 2025

Seramai lebih 1,000 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kali ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, sebagai bukti keberhasilan Program Perantis Vokasional McDonald’s dalam memperkasakan pendidikan dan kemahiran belia. Program ini, yang telah menerima pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia, menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) kepada para perantis yang berjaya menamatkan latihan. Majlis berprestij ini disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa, mewakili YAB Dato’ Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, di IDCC Shah Alam.

Program Perantis Vokasional McDonald’s dibangunkan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Ia menggabungkan 70% latihan praktikal di restoran dan 30% pembelajaran teori di dalam kelas, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pendekatan berorientasikan industri.

Akademi Vokasional McDonald’s ditubuhkan bagi membolehkan lepasan Tingkatan 3 memulakan perjalanan mereka dalam bidang kemahiran dan kerjaya sejak usia muda. Inisiatif ini juga merupakan hasil kerjasama strategik dengan kolej-kolej vokasional di bawah Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk belajar sambil bekerja.

“Inilah pendekatan holistik yang kita harapkan – bukan sekadar mencerdikkan dan memahirkan seseorang insan, tetapi mengubah keseluruhan kehidupan mereka. Usaha seperti ini menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi rakyat dan pengukuhan jaringan antara institusi pendidikan dan industri,” kata YB Datuk Hajah Rubiah Wang dalam ucapan perasmiannya.

Menurut Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Akademi Vokasional ini telah melahirkan lebih 5,000 graduan dalam tempoh tujuh tahun, dan 80% daripada mereka memilih untuk membina kerjaya jangka panjang bersama McDonald’s. “Kami bukan sekadar majikan, kami juga komited sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat yang memberi peluang sebenar kepada belia untuk berjaya,” tambah beliau.

Perantis yang menyertai program ini menerima tajaan penuh meliputi elaun bulanan, tempat tinggal, makan minum, perlindungan insurans dan perubatan, serta caruman PERKESO dan KWSP. Menariknya, tiada kontrak perkhidmatan dikenakan selepas tamat latihan. Secara purata, McDonald’s membelanjakan RM40,000 bagi setiap perantis sepanjang tempoh latihan mereka.

Sebahagian besar perantis yang berjaya datang daripada golongan B40, asnaf, OKU, Orang Asli serta mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran. Ramai dalam kalangan mereka kini telah mencapai kedudukan sebagai pengurus restoran mahupun pakar industri di ibu pejabat McDonald’s Malaysia, membuktikan impak sebenar pendidikan berasaskan kemahiran dalam mengubah nasib keluarga dan komuniti.

McDonald’s Malaysia turut melaksanakan inisiatif pembangunan bakat dalaman melalui Hamburger University (Hamburger U), yang menawarkan kursus dalam bidang pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan. Program ini terbuka kepada pekerja sedia ada serta pelajar universiti yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat.

Antara program yang telah diwujudkan termasuk Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP), dan Program Perantisan Industri (IP). McDonald’s juga menjalin kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi melalui program 3 Tahun Universiti + 1 Tahun Industri (3U1i), dengan jaminan tawaran kerja selepas tamat pengajian.

Untuk belia yang berminat menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web www.mcdonalds.com.my atau e-mel kepada MY-Recruitment@my.mcd.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *