Stacy Umum Konsert Solo Bersejarah di Sabah, ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’ Gegarkan SICC Jun Ini
Stacy secara rasmi mengumumkan konsert solo mega pertamanya di negeri kelahirannya menerusi satu sidang media eksklusif yang diadakan dengan penuh meriah di Sabah International Convention Centre (SICC). Acara bermula sekitar jam 3 petang, menyaksikan kehadiran wakil media, tetamu kehormat dan rakan artis yang diberi peluang untuk berinteraksi sebelum menyaksikan kemunculan mengejut Stacy dalam busana putih memukau. Sebagai kejutan istimewa, Stacy mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat” yang disampaikan di kawasan luar dewan berlatarbelakangkan panorama lautan dan langit senja, mewujudkan suasana yang cukup indah dan penuh makna buat semua yang hadir.
Konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” bukan sekadar acara hiburan, tetapi lambang cinta Stacy terhadap negeri Sabah serta penghargaan terhadap perjalanan seni yang dilaluinya selama ini. Beliau turut mendedahkan bahawa dirinya memainkan peranan utama dalam keseluruhan konsep konsert termasuk susunan muzik, pemilihan penari dan pasukan kreatif, sekaligus menjadikan konsert ini paling peribadi dan autentik dalam kerjayanya.
“Saya ingin cipta satu persembahan yang penuh warna, bertenaga dan luar biasa untuk Sabah. Saya gabungkan penari dari Semenanjung dan Sabah demi mencipta kelainan. Tunggu saja kejutan yang bakal mencuri tumpuan malam konsert nanti,” katanya teruja. Antara momen yang paling dinanti oleh para peminat ialah segmen duet Stacy bersama suaminya, Akim Ahmad. Pasangan ini yang sering mencuri perhatian dengan persembahan serasi mereka akan tampil dalam babak istimewa yang dijanjikan penuh emosi dan kemesraan. Akim turut menyatakan rasa lega kerana cuaca menyebelahi acara sidang media. “Setiap hari sebelum ni hujan. Tapi hari ini langit cerah. Doa semua dikabulkan,” ujarnya bersyukur.

Dibawakan oleh U Mobile dan dianjurkan Rhythm & Rhyme Entertainment, konsert ini akan berlangsung pada 21 Jun 2025 jam 8 malam di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu. Ia bukan sekadar persembahan biasa, malah menjadi pentas yang menandakan titik penting dalam perjalanan Stacy sebagai anak seni dari Sabah yang berjaya menawan pentas tanah air. “Saya sangat menghargai sokongan U Mobile dalam menjayakan konsert ini. Ini bukan sekadar impian saya, tapi juga hadiah untuk semua yang selama ini menyokong saya sejak dari awal,” ujar Stacy penuh syukur.
Konsert ini akan membawa penonton menyusuri setiap fasa penting dalam karier Stacy, daripada era “Aku Stacy” hinggalah ke “Menyala”, dengan susunan lagu yang dikemas kini, tarian baharu dan visual pentas berkelas antarabangsa. “Saya mahu setiap penonton merasa mereka sedang melalui satu perjalanan penuh emosi dan inspirasi,” kata Stacy lagi.
Tiket telah mula dijual sejak 10 April dan boleh didapati di www.ticket2u.com. Peminat boleh mengikuti perkembangan dan info terkini mengenai konsert ini menerusi akaun media sosial rasmi Stacy serta U Mobile. Nantikan pelbagai kandungan eksklusif di sebalik tabir dan sorotan istimewa menjelang malam penuh sejarah ini.