Sun. Nov 24th, 2024

    Penyanyi yang terkenal dengan gelaran ‘rockstar’ mencipta sejarah sekali lagi dalam karier kreatifnya dengan mengadakan siri jelajah album di Hard Rock Café, Melaka pada 15 September ini. Ini berlaku setelah beliau berjaya melancarkan album solo sulungnya, Amir Masdi. Kejayaan ini sungguh memukau dalam dunia muzik tempatan.

    Bagai bulan jatuh ke riba, Amir, 27, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi menyifatkan penganjuran siri jelajah album Amir Masdi itu satu daripada impiannya.

    Menurut Amir, projek itu juga adalah bonus kepada penerbitan album terbabit yang memuatkan 12 lagu selain berharap ia dapat dilaksanakan di seluruh tanah air.

    “Untuk ‘album tour’ ini memang menjadi impian saya. Kalau ada album sahaja saya belum betul-betul puas, tapi kalau dapat buat ‘album tour’ satu Malaysia itu adalah bonus untuk projek ini.

    “Saya sangat gembira dan bersyukur apabila dapat menjayakanya di lokasi pertama di Hard Rock Cafe, Melaka. Kalau tanya penyanyi lain lokasi itu sangat baik sekiranya mahu membuat persembahan.

    “Kalau ikutkan memang risikonya agak tinggi sebab ada tiket dan perlu pergi banyak lokasi. Tapi, saya tengok ramai peminat yang minta untuk buat ‘showcase’. Tapi kalau saya buat di tempat yang sama nanti orang akan bosan. Jadi, saya dengan pihak pengurusan buat ‘album tour’ supaya dapat menjual album ini ke seluruh negara,” katanya.

    Berkongsi lanjut, Amir yang juga calon Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-35 baru-baru ini bakal menyanyikan kesemua lagu daripada album itu.

    Malah, Amir yakin dengan tawaran harga tiket yang mampu milik membolehkan peminatnya hadir untuk sama-sama menikmati persembahan bertaraf ‘A Class’.

    “Ini juga adalah projek yang bangus sebab saya dapat berjumpa dengan peminat dari pelbagai negeri di Malaysia. Dalam perancangan, kami mahu jayakan di sebanyak lokasi yang mampu. Kalau boleh memang nak buat di setiap negeri, tapi itu akan diuruskan kemudian. Pada persembahan nanti, kesemua 12 lagu daripada album itu akan dinyanyikan termasuk beberapa lagu ‘cover’.

    “Tiket sudah mula dijual minggu lalu dan terhad kira-kira 1,000 orang di Hard Rock Café. Melaka. Tapi, peringkat awal tiket akan dijual sebanyak 300 dahulu. Kalau ada sambutan lagi 700 akan dibuka. Harga tiket bermula dengan RM100. Penonton akan dapat tiket fizikal dan gelang tangan. Cenderahati dan album fizikal akan dijual nanti. Mereka yang msuk dengan tiket boleh beli cenderahati itu,” katanya.

    Dalam masa sama, Amir dengan bangganya berkongsi yang album pertamanya itu sudah habis terjual dan proses cetakan kedua sedang rancak dibuat.

    “’Batch’ pertama sudah habis terjual sebanyak 300 unit pada ‘showcase’ baru-baru ini. Jadi, pada ‘album tour’ ini adalah cetakan baharu dan cenderahati yang akan dijual pada hari kejadian nanti khas untuk orang yang datang. Cenderahati ini tak sama dengan sebelum ini, ia ada kelainan sedikit.

    “Bagi cetakan kedua dalam 250 ke 300 unit. Hard Rock Cafe juga ada umumkan satu perkara yang istimewa untuk ‘album tour’ saya ini. Saya adalah artis pertama yang membuat persembahan pada hari ulang tahun ke-10 mereka. Apabila dapat tahu saya terkejut sebab bukan senang untuk menyanyi di Hard Rock apatah lagi mengadakan ‘showcase’,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *