Selepas kejayaan musim pertamanya, drama komedi romantik “Boleh Saya Bantu? 2” kembali menghiasi slot Lestary TV3 dengan jalan cerita yang lebih padat, penuh emosi, dan sarat konflik mencuit hati. Karya arahan Shuhaimi Lua ini bakal menemui penonton bermula 8 Ogos 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam, dengan penstriman awal 24 jam di Tonton.
Musim baharu ini mengekalkan barisan pelakon utama seperti Andi Bernadee, Riena Diana, Mark Adam, Wanie Ooi dan Nasz Sally, di samping kemunculan watak baharu oleh Aliff Hadi. Turut memeriahkan drama ini adalah penampilan istimewa bintang popular termasuk Fadlan Hazim, Khatijah Tan, Joey Daud, Muaz Zabir, Josiah Hogan, Ropie, dan Fizo Omar.
Kisah kali ini memfokuskan pada kehidupan Nasar (Andi Bernadee) selepas melalui penceraian mengejut dengan Jannah. Dia kini menguruskan Love Wave Hotel, milik Tuan Joe, yang berdepan risiko muflis bersama Datuk Sudin (Mark Adam). Dalam masa yang sama, Nasar terjerat dalam cinta tiga segi antara Farida (Riena Diana) dan Haiza (Wanie Ooi), sambil cuba menepis trauma perkahwinan gagal yang masih membelenggunya.
Kekalutan bertambah apabila muncul pelbagai insiden tidak dijangka, tetamu misteri, panggilan aneh, kemunculan bomoh moden, dan penemuan wasiat yang mampu mengubah takdir percintaan Farida.

Andi Bernadee mengakui membawakan watak duda dengan konflik emosi mendalam bukan tugas mudah. “Saya tak pernah berkahwin, jadi untuk memahami situasi seorang lelaki yang gagal dalam rumah tangga agak mencabar. Saya banyak berbincang dengan rakan-rakan yang pernah melalui pengalaman itu untuk benar-benar memahami emosi mereka,” jelas Andi.
Menurut Riena Diana, “Musim ini bukan sekadar hiburan. Ada babak yang menggambarkan realiti seperti penderaan dalam hubungan, isu kosmetik berbahaya, dan wanita berkerjaya yang menanggung pasangan tidak bertanggungjawab. Ia memberi dimensi realistik pada penceritaan.”
“Boleh Saya Bantu? 2” menjanjikan gabungan komedi, drama, dan mesej sosial yang menyentuh hati, sambil membawa penonton menyelami realiti dunia pekerja hotel yang jarang diketengahkan di TV.
Penonton boleh mengikuti perkembangan drama ini melalui media sosial rasmi TV3 di @TV3Malaysia dan @dramasangat di Instagram, serta di Facebook, Twitter, dan YouTube.