Sat. Jul 26th, 2025

Pentas teater tanah air bakal diwarnai dengan sebuah pementasan istimewa bertajuk Tingginya Menyapu Awan, karya asli Malina Manja dan arahan mantap Dr. Marlenny Deenerwan. Pementasan ini akan berlangsung selama tiga malam berturut-turut pada 25, 26 dan 27 Julai 2025 bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Acara ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka, yang bertujuan mengangkat semula seni teater sebagai medium penting dalam membentuk identiti budaya serta menyampaikan mesej sosial yang mendalam.

“Tingginya Menyapu Awan” membawa penonton menyelami kehidupan sebuah komuniti gelandangan di pinggir kota. Dalam serba kekurangan, mereka hidup dalam semangat saling menyokong dan kasih sesama insan. Namun, ketenangan mereka diuji apabila seorang lelaki tua yang sedang nazak menyuarakan hasrat terakhirnya untuk menikmati susu dan buah segar. Konflik memuncak apabila makanan tersebut secara tidak sengaja dimakan oleh Melur, seorang gadis terencat akal. Kehadiran Melur dan ibunya membongkar hubungan tersembunyi mereka dengan si tua tersebut, membuka persoalan berat tentang dendam, pengampunan, makna hidup dan nilai kemanusiaan.

Naskhah ini menampilkan tema eksistensialisme dan realisme sosial yang kuat membongkar realiti masyarakat marjinal yang sering dipinggirkan, namun kaya dengan nilai kemanusiaan yang menyentuh jiwa. Pementasan ini dijangka memberi kesan mendalam kepada penonton melalui penyampaian yang jujur, puitis dan dramatik.

Barisan pelakon terdiri daripada nama-nama berbakat besar seperti Jay Iswazir, Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamdan, Adli Shinichi, Farhana Fahizam, Aizy Ezmi dan Azhar Ja’a yang bakal menghidupkan watak-watak dengan penuh emosi dan kedalaman.

Melalui program ini, JKKN WPKL bersama rakan strategik bukan sahaja memberi ruang kepada penggiat seni mempamerkan kreativiti mereka, tetapi juga menjadikan teater sebagai jambatan antara seni dan masyarakat – membawa mesej mendalam dalam bentuk yang menghibur, mendidik dan membangkitkan kesedaran.

Orang ramai yang berminat untuk hadir boleh menghubungi Encik Shahrizal Abdan di talian 012-3688570 atau Puan Shariza Isa di 013-9391535. Pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel ke wpkl@jkkn.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *