Sat. Jul 19th, 2025

Bersiaplah untuk malam yang bakal menyentuh hati dan menghidupkan kembali memori-memori cinta kerana Bunga Citra Lestari (BCL), ikon seni Nusantara, akan menggegarkan Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 27 September 2025 dalam sebuah persembahan eksklusif berjudul BCL: Eternal Love – Timeless Romance.

Dibawakan dengan penuh rasa cinta oleh Pulse Project Asia, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah pengalaman puitis tentang cinta – dalam pelbagai nuansa, warna, dan emosi yang selama ini membentuk identiti seni BCL.

Dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan juri ternama, nama BCL sentiasa sinonim dengan karya-karya cinta yang meresap jauh ke dalam jiwa pendengarnya. Lagu-lagu seperti Cinta Sejati, Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah, sehinggalah Memulai Kembali akan bergema dalam sebuah malam yang mendalam dan penuh keindahan, dibalut dengan sentuhan produksi bertaraf dunia.

Menurut wakil Pulse Project Asia, Muhammad Anuar Zaini, konsert ini dirancang untuk menjadi satu hadiah istimewa buat peminat yang telah lama menyokong perjalanan seni BCL. “Kami bawakan konsert ini sebagai ruang untuk peminat menikmati sisi paling jujur dan penuh cinta daripada seorang penghibur yang begitu dekat dengan hati ramai. Dengan visual yang memukau dan sentuhan persembahan yang peribadi, ia bakal jadi malam yang tidak dapat dilupakan,” ujar Anuar.

BCL: Eternal Love – Timeless Romance juga mempersembahkan dua nama besar sebagai tetamu istimewa penyanyi bersuara emas Jaclyn Victor dan maestro violin tersohor Dennis Lau, yang akan menambah lapisan keindahan dan emosi kepada malam penuh cinta ini.

Lebih mengujakan, Pulse Project Asia turut memperkenalkan pelbagai pakej tiket eksklusif. Salah satu daripadanya ialah “Pakej Cinta Abadi”, kategori istimewa yang menggantikan VVIP di mana pemegang tiket akan menikmati sesi Meet & Greet peribadi bersama BCL, sesi fotografi, serta menerima barangan eksklusif yang ditandatangani oleh BCL sendiri.

Bagi 300 pembeli tiket terawal pula, peluang keemasan menanti anda! Nikmati Pas Soundcheck Eksklusif pengalaman menyaksikan sesi latihan BCL secara langsung sebelum konsert bermula. Sebuah peluang langka yang bakal menjadi kenangan terindah buat peminat sejati.

Tiket mula dijual secara rasmi di Ticket2U pada 6 Jun 2025, jam 3 petang. Jangan lepaskan peluang menikmati diskaun 10% sempena jualan pelancaran, manakala harga pra-jualan bermula dari RM259 sahaja. Harga biasa akan bermula pada RM288, bergantung pada kategori pilihan.

BCL bukan sekadar kembali ke pentas, beliau pulang ke rumah keduanya, Malaysia, yang sentiasa menyambutnya dengan tangan terbuka. Dengan konsert Eternal Love Timeless Romance, BCL tidak hanya menyanyi, tetapi berkongsi kasih, luka, kenangan dan harapan dalam satu malam yang dijanjikan sebagai persembahan paling romantik tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *