YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah merasmikan Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti ‘Telusuri Bayu Nabalu’ di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, Sabah. Program ini berkonsepkan forum yang mana Tokoh Pembicara berkongsi pengalaman, kajian dan penyelidikan serta pandangan mengenai bahasa kolokial kepada masyarakat umum.
Bicara Bahasa Kolokial di Sabah ini mengangkat tema ‘Telusuri Bayu Nabalu’ bertujuan memberi lebih pendedahan mengenai penggunaan bahasa kolokial dalam kalangan etnik di Sabah di samping mendokumentasikan budaya unik ini untuk dijadikan bahan rujukan dan penyelidikan. Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik yang meliputi kawasan Pedalaman Sabah, Pantai Barat Selatan Sabah, Pantai Barat Utara Sabah serta Pantai Timur Sabah.
Menyedari kepentingan bahasa sebagai warisan dan ejen pengukuh perpaduan antara kaum dan etnik di negara ini, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah mengambil langkah proaktif untuk menganjurkan program ini dengan penyertaan 250 peserta yang berbeza suku kaum, etnik dan bangsa di bawah satu bumbung. Peserta ini terdiri daripada penggiat seni sastera dan budaya, pengkaji bahasa dan budaya, ahli persatuan NGO, guru-guru sekolah, pensyarah, ahli akademik, pelajar IPTA/IPTS, pelajar sekolah menengah, pegawai kerajaan dan orang awam.
YB Menteri Perpaduan Negara menyatakan bahawa pelaksanaan program ini adalah selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang dibawa oleh Kementerian yang mana bahasa kolokial dan bahasa lohgat atau bahasa etnik merupakan khazanah warisan negara yang harus dipelihara dan diwarisi dari generasi ke generasi supaya ia tidak luput akibat kaum atau etnik itu sendiri tidak menggunakannya sebagai bahasa pertuturan seharian. “Penganjuran program ini juga dilihat mampu mengangkat dan memartabatkan elemen-elemen tradisi, seni serta budaya amnya dan bahasa khasnya sebagai ejen perpaduan kaum,” ujar YB Datuk Aaaron.
Program ini menampilkan enam (6) Tokoh Pembicara iaitu:
- Profesor Madya Dr. Saidatul Nornis binti Hj. Mahali, Universiti Malaysia Sabah dengan topik Penggunaan Bahasa Harian dalam Kalangan Pelbagai Etnik;
- Rozita binti Buyoh, Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya dengan topik Pemilihan Bahasa dalam Keluarga Kahwin Campur di Sabah;
- Siti Aidah binti Hj. Lukin @ Lokin, Universiti Malaysia Sabah dengan topik Bahasa Kolokial dalam Kalangan Pelbagai Etnik Pantai Barat Selatan Sabah;
- Azlan Shafie Abdullah @ Raymond Majumah, Pejabat Pendidikan Daerah Kudat dengan topik Bahasa Kolokial dalam Kalangan Pelbagai Etnik Pantai Barat Utara Sabah;
- Ukim bin Antiko, Aktivis Bahasa dengan topik Bahasa Kolokial dalam Kalangan Pelbagai Etnik Pedalaman Sabah; dan
- Encik Mohammad Zikrun, Persatuan Gabungan Etnik Sabah dengan topik Bahasa Kolokial dalam Kalangan Pelbagai Etnik Pantai Timur Sabahb.
Pelaksanaan program di Kota Kinabalu ini adalah kali kedua selepas diadakan di Kuantan, Pahang pada 13 Julai lalu. Arkib Negara Malaysia turut merancang untuk mengadakan tiga lagi program seumpama ini sehingga hujung tahun 2023 di Miri, Sarawak, Kangar, Perlis dan Ipoh, Perak. Sementara itu, YB Datuk Aaron meminta agar bicara Bahasa Kolokial ini dapat diteruskan bagi tahun 2024 di enam (6) negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.
KPN turut mengambil kira cadangan pelaksanaan Bicara Kolokial Bahasa Isyarat yang juga merupakan bahasa pertuturan harian dan bahasa penyatuan antara komuniti Orang Kurang Upaya. Selain itu, KPN turut bercadang untuk menerbitkan buku khas Bahasa Kolokial pada tahun hadapan yang mampu menjadi sebahagian usaha dalam melestarikan keberdayaan Bahasa Komuniti di negara ini.
YB Menteri Perpaduan Negara turut menyatakan harapannya agar perkara ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar program advokasi bahasa ini turut memberi impak positif dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi penyambung legasi negara. Usaha ini juga selari dengan pelaksanaan Perpaduan Malaysia MADANI juga akan menggunakan ‘whole of government approch’ iaitu kerjasama antara agensi kerajaan merentas sempadan portfolio organisasi dengan berkongsi tindakan untuk mencapai matlamat pembangunan Malaysia MADANI.
Usaha-usaha yang dilaksanakan seumpama ini dilihat berupaya menjadi platform penyatuan masyarakat, pengerat muafakat, pengukuh perpaduan dan pemeliharaan tradisi budaya bangsa. Perpaduan merupakan tunjang kepada kejayaan negara dan bahasa adalah medium yang berkesan untuk mencapai kejayaan tersebut.