Petaling Jaya, 5 Oktober 2022 – Sempena sambutan ulang tahun ke-37 program Nona pada 2022, Nona akan menyiarkan edisi khas ‘Bicara Inspirasi Nona,’ yang disampaikan oleh Amyra Rosli, termasuk panel pengunjung dari pelbagai disiplin yang akan menawarkan pengetahuan dan pengalaman mereka. Program istimewa ini akan bersiaran di TV3 pada 30 Oktober 2022, jam 2 petang.
Sejak bersiaran di TV3, program Nona telah menjadi teman setia kepada kaum hawa dan juga sumber inspirasi kepada golongan usahawan wanita dalam memulakan kerjaya mereka. Nona tersenarai sebagai program televisyen wanita yang paling lama bersiaran di negara ini dalam Malaysia Book of Records pada 28 Ogos 2005 ketika ulang tahun TV3 yang ke-20.
Menurut Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad, “Rancangan Nona ini agak unik kerana di sebalik populariti pengacaranya, ia kekal mendapat jumlah tontonan tinggi kerana kandungannya yang bukan sahaja memberi fokus kepada isu-isu semasa wanita, malah ia juga memberi penekanan kepada paparan berkaitan keusahawanan, perubatan dan kisah-kisah inspirasi yang boleh menjadi motivasi kepada seisi keluarga.
Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan mereka yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program kebanggaan TV3 ini. Ini termasuk kesemua pengacara serta mantan pengacara Nona, penerbit-penerbit serta juruteknik-juruteknik yang pernah menyumbang tenaga menghasilkan program yang boleh dianggap sebahagian daripada DNA rakyat Malaysia.”
“Bicara Inspirasi Nona yang diadakan buat kali pertama selepas lebih dua tahun negara mengalami pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, adalah platform untuk Nona mendekatkan diri semula dengan penontonnya terutama wanita muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Untuk kekal relevan sebagai pilihan penonton dan rakan strategik pengiklanan di era digital ini, adalah penting untuk kami menyemarakkan kembali ‘networking’ bersama-sama usahawan generasi digital serta menghargai sokongan penonton yang diberikan selama ini,” tambah beliau lagi.
Bicara Inspirasi Nona yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara pada hari ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Dato’ Khairul Anwar Salleh (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima), Senator Datuk Ras Adiba Radzi (Pengerusi Bernama), dan Encik Effendi Omar (Ketua Pegawai Operasi, Media Prima OMNIA).
Majlis dimulakan dengan sesi Sarapan Qalbu bersama Ustaz Harryanto Rizal Rokman sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian oleh panel jemputan yang merupakan pakar dalam bidang masing-masing. Kepakaran mereka dalam bidang perubatan, ketenteraan, keusahawanan malahan seni dan hiburan menjadi cermin kepada keupayaan golongan wanita di negara ini. Majlis ini dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Faizal Tahir dan Hael Husaini sebagai penutup.
Berikut ialah senarai panel jemputan di acara tersebut:
- Leftenan Madya Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman, Pegawai TLDM
- Dr Mastura Md Yusof, Pakar Perunding Onkologi
- Didie Alias, selebriti
- Dr. Noraryana Hassan, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pakar Perubatan Kesihatan Awam)
- Siti Noor Sabrina Soobri, Pengasas Mamasab International Sdn. Bhd.
Sidang produksi Nona diketuai oleh Wan Sabariah Shikh Ali (Pengurus Besar, Program Faktual TV3), Nur Irjuana Mohd Ishar (Penerbit Eksekutif) dan Norain Kamarudin (Penerbit). Ikuti program Nona pada setiap Ahad, pukul 2.00 petang di TV3 dan strim langsung secara definisi tinggi di www.tonton.com.my serta perkembangan terkini program Nona di Facebook @NonaTV3 dan Instagram @tv3nona.
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang program TV3, layari Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.