Tue. Jul 15th, 2025

Co-opbank Pertama (CBP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan koperasi terkemuka negara dengan perasmian Wisma Co-opbank Pertama oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick hari ini. Majlis penuh bermakna itu turut menjadi simbolik kepada sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan CBP, sekali gus menandakan era baharu dalam perjalanan institusi yang berakar sejak tahun 1949.

Wisma Co-opbank Pertama yang setinggi 13 tingkat ini terletak di lokasi strategik di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Bharu. Ia bukan sekadar mercu tanda fizikal baharu, tetapi juga mencerminkan kekuatan, kemajuan dan aspirasi masa depan CBP untuk terus menjadi peneraju dalam perbankan koperasi yang moden, mampan dan inklusif di Malaysia.

Dalam ucapannya, Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata bahawa pembinaan Wisma ini sejajar dengan perkembangan pesat CBP dalam memperluas operasi dan perniagaan. Dari menyediakan pembiayaan kepada sektor pertanian sehinggalah pembangunan hartanah, semua inisiatif yang dijalankan bertujuan untuk memberi manfaat maksimum kepada para anggota.

“Transformasi besar bermula pada tahun 2014 apabila Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi lampu hijau kepada kami untuk beroperasi sebagai bank koperasi sepenuhnya. Kemudian, pada 2018, kami menjenamakan semula entiti ini kepada Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad – nama yang kekal hingga hari ini,” kata beliau dalam ucapannya.

Datuk Baharom turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SKM, serta semua anggota dan pelanggan yang terus menyokong perjuangan CBP sepanjang tujuh dekad lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairul Anuar Mohammad Anuar, dalam ucapannya memaklumkan bahawa CBP mencatatkan prestasi cemerlang pada tahun 2024 dengan keuntungan tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM124.29 juta. Selain itu, CBP juga telah dinobatkan sebagai Koperasi Premier Malaysia selama empat tahun berturut-turut bermula dari 2021 hingga 2024.

Perasmian Wisma Co-opbank Pertama menjadi titik tolak baharu dalam peta pertumbuhan CBP, yang kini bersedia melangkah ke masa depan dengan lebih yakin, terus membawa manfaat kepada masyarakat dan memacu sektor kewangan koperasi ke tahap lebih tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *