Dalam usaha memperkukuh kesedaran rakyat Malaysia terhadap jenayah siber yang semakin membimbangkan, CelcomDigi Berhad berganding bahu bersama Media Prima Berhad dan OMD Malaysia menerbitkan segmen khas baharu berjudul Kisah Benar: Scam Siber menerusi rancangan jenayah ikonik TV3, 999. Inisiatif ini membawakan pendekatan bercerita yang mendalam dan menyentuh hati berdasarkan kisah benar, sebagai amaran serta panduan kepada masyarakat umum.
Seiring dunia digital yang pesat berkembang, rakyat Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai bentuk penipuan siber seperti kejuruteraan sosial, laman sesawang palsu dan pencurian identiti. Kisah Benar: Scam Siber hadir sebagai saluran penting untuk menyampaikan mesej pencegahan secara langsung kepada penonton menerusi pengisian dramatik, fakta sahih dan lakonan semula berdasarkan kes-kes sebenar yang telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program ini akan disiarkan selama 13 episod bermula 1 Julai hingga 23 September 2025, setiap hari Selasa jam 9.00 malam di TV3. Antara episod awal yang bakal ditayangkan termasuk kes Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam, penipuan pelaburan dalam talian, penipuan tawaran kerja dan ganjaran tunai palsu. Setiap episod disertai kapsul maklumat praktikal untuk membantu penonton mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada terjerat dengan modus operandi penjenayah siber.
Bagi memastikan maklumat ini sampai kepada lebih ramai, kandungan penting dari segmen ini juga akan dikongsikan dalam bentuk video pendek di media sosial rasmi TV3 (@TV3Malaysia) dan 999 (@999tv3), selain boleh ditonton semula di platform penstriman Tonton. Ini membolehkan masyarakat mengikuti dan memahami mesej keselamatan digital di mana sahaja mereka berada.
Menurut Chan May Ling, Ketua Perkhidmatan Jenama & Pemasaran CelcomDigi, “Jenayah siber bukan sekadar isu teknologi, ia adalah ancaman kepada kesejahteraan rakyat. Kesedaran adalah benteng pertama, dan inilah sebabnya kami memilih pendekatan lebih mendalam dan realistik melalui Kisah Benar.” Beliau menambah, “Kami mahu semua rakyat Malaysia tahu cara mengesan, menolak dan melaporkan sebarang bentuk scam – kerana ini bukan hanya tentang keselamatan digital, tetapi juga tentang membina masyarakat yang lebih bijak dan berdaya tahan.”
Mayank Bhatnagar, Pengarah Urusan OMD Malaysia pula menekankan, “Kerjasama dengan CelcomDigi dan Omnia dalam menghidupkan kembali Kisah Benar menjadi bukti bagaimana pendekatan berasaskan nilai boleh membentuk kempen yang lebih dekat di hati rakyat. Ini adalah contoh bagaimana komunikasi jenama boleh menjadi alat pendidikan yang kuat dalam menangani isu sebenar.”
Dengan gabungan pengaruh TV3 sebagai saluran maklumat jenayah nombor satu negara, serta kekuatan digital CelcomDigi, inisiatif Kisah Benar: Scam Siber dijangka memberi impak besar dalam mengubah sikap dan tindakan masyarakat terhadap ancaman penipuan siber yang kian meruncing.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Kisah Benar: Scam Siber, bermula 1 Julai 2025, setiap hari Selasa, jam 9.00 malam, eksklusif di TV3. Saksikan kisah-kisah benar yang membuka mata dan pelajari langkah melindungi diri di era digital yang penuh cabaran ini.