Apabila cinta lama yang pernah padam kini menyala kembali, mampukah sebuah rumahtangga kekal bertahan? Saksikan bagaimana dilema, godaan, dan kejujuran diuji dalam drama bersiri terbaharu Setia Itu Mahal, yang akan mula menghiasi slot Akasia TV3 bermula 28 Julai ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam.
Di bawah arahan pengarah sensasi Jamal Khan dan diterbitkan oleh Wiranusa Corporation Sdn Bhd, karya 28 episod ini dijangka menggamit emosi penonton menerusi jalan cerita yang realistik dan menyentuh perasaan. Barisan pelakon hebat seperti Anna Jobling, Zahiril Adzim, Redza Rosli dan Rita Nadira turut memperkukuh drama ini dengan lakonan yang sarat emosi.
Kisah bermula dengan Dalina (Anna Jobling), seorang pereka fesyen berjaya yang kelihatan memiliki segalanya – suami penyayang, Dr Hakim (Zahiril Adzim), dan seorang anak perempuan, Alia. Namun di sebalik senyuman bahagia, hatinya mula goyah apabila cinta lama, Tengku Farid (Redza Rosli), kembali hadir dalam hidupnya.
Tengku Farid bukan lelaki biasa. Meskipun telah beristerikan Tengku Natasya yang berpengaruh, dia tetap membawa bara lama yang belum padam terhadap Dalina. Di saat Dr Hakim semakin sibuk dan kelihatan menjauh, Farid pula hadir memberi perhatian dan ruang untuk Dalina meluah rasa. Apakah ini hanya nostalgia, atau bibit awal pengkhianatan?
Konflik memuncak apabila Alia jatuh sakit dan Dalina terpaksa bergantung pada Farid kerana gagal menghubungi suaminya. Di sinilah garis antara setia dan curang mulai kabur, dan Dalina mula terperangkap antara tanggungjawab dan kerinduan lama yang sukar dijelaskan.

“Watak Dalina ini sangat manusiawi dia tak sempurna, dia cuba buat yang terbaik, tapi dia juga ada emosi yang kadang-kadang dia sendiri tak faham,” ujar Anna Jobling yang berkongsi cabaran menjayakan karakter wanita yang kompleks dan penuh dilema.
Setia Itu Mahal bukan sekadar kisah cinta tiga segi. Ia membawa persoalan penting: dalam dunia moden yang penuh tekanan dan keletihan, bagaimana seseorang itu boleh kekal setia? Apakah benar semua kesilapan harus dituding pada mereka yang tergoda, atau ada pihak lain yang juga alpa dalam menjaga cinta?
Bagi yang tidak sempat menonton di kaca TV, jangan risau. Episod baharu juga boleh distrim secara percuma di iQIYI bermula jam 8.00 malam pada hari tayangan. Manakala pelanggan VIP iQIYI boleh menonton secara ekspres, tepat jam 8.00 malam. Episod percuma juga tersedia selepas 48 jam.
Sejak memasuki pasaran Malaysia, iQIYI terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform penstriman nombor satu Asia di negara ini. Dengan pertumbuhan lebih 15 kali ganda, ia menjadi destinasi utama untuk menikmati drama-drama hebat tempatan.
Ikuti perkembangan lanjut di laman sosial rasmi TV3 Malaysia dan Drama Sangat untuk sorotan eksklusif, temu bual pelakon dan klip istimewa dari set penggambaran. Jangan lupa bila kesetiaan diuji, siapa yang akhirnya akan terluka?