Tue. Aug 5th, 2025

Malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) menjadi pentas gemilang buat Daiyan Trisha apabila beliau membawa pulang bukan satu, tetapi dua trofi berprestij Anugerah Selebriti Stailo Terhangat dan anugerah paling diidamkan, Anugerah Melodi Terhangat. Kemenangan berganda ini mengukuhkan kedudukannya bukan sekadar sebagai bintang seni, malah sebagai ikon fesyen tanah air yang menginspirasikan ramai.

Sudah lama dikenali sebagai rujukan gaya di Malaysia, Daiyan sekali lagi membuktikan bahawa fesyen adalah sebahagian daripada identitinya. Aura elegan yang dibawa terpancar di mana-mana dari karpet merah, set penggambaran, hinggalah ke paparan media sosial. Namun bagi Daiyan, fesyen bukan sekadar jenama mahal, tetapi tentang kreativiti dan ekspresi diri.

“Tak perlu pun belanja mahal. Saya mula dengan pakaian tanpa jenama, tapi saya belajar kenal gaya sendiri. Keyakinan dan keselesaan itu yang membuatkan penampilan nampak menyerlah,” ujarnya.

Walaupun jadualnya padat, Daiyan mengakui proses memilih busana, memadankan aksesori dan menentukan solekan adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. “Saya memang suka proses tu. Ia adalah cara saya mengekspresikan diri,” katanya dengan senyuman.

Namun, di sebalik gelaran ikon fesyen, Daiyan juga adalah seorang anak seni yang matang. Lebih sedekad bergiat dalam bidang nyanyian dan lakonan, setiap karya yang dihasilkan sama ada lagu atau watak sentiasa hadir dengan sentuhan peribadi yang tulus. Cinta dan dedikasinya terhadap seni tidak pernah pudar, sebaliknya terus berkembang seiring pengalaman dan kematangannya.

Di pentas AMT2025 yang meraikan Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi dan Bakat Tersendiri, Daiyan Trisha membuktikan bahawa kejayaan sebenar lahir daripada keaslian, kerja keras, dan semangat yang konsisten. Malam itu bukan sekadar kemenangan anugerah, tetapi pengiktirafan terhadap perjalanan seni dan personaliti unik yang beliau bawa.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *