Ratu Borneo, Marsha Milan mengajak para peminat untuk turut serta dalam sebuah acara eksklusif yang penuh warna budaya dan irama jiwa: Misompuru: Borneo Album Listening Session, yang akan berlangsung pada Ahad, 13 Julai 2025 dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang di RXP, REX KL.
Misompuru, yang bermaksud “keramaian” dalam bahasa Dusun, merupakan simbolik kepada semangat menghimpun dan menyatukan hati menerusi muzik dan seni. Menerusi sesi ini, Marsha ingin berkongsi keindahan karya terbarunya bersama peminat dan wakil media dalam suasana yang lebih akrab dan imersif seiring dengan intipati sebenar album ini yang lahir daripada cintanya terhadap tanah Borneo.
Album Misompuru bukan sekadar koleksi lagu, ia adalah surat cinta Marsha kepada tanah kelahirannya. Setiap lagu dalam album ini menyentuh elemen nostalgia, kekuatan dalaman dan rindu terhadap kampung halaman yang pastinya menyentuh jiwa pendengar, terutama anak-anak Borneo yang sentiasa terikat dengan identiti asal mereka. Dengan irama dan pengaruh muzik tradisional Sabah dan Sarawak yang unik, Misompuru tampil berbeza daripada aliran muzik komersial arus perdana di Semenanjung.
Lebih membanggakan, kejayaan album ini turut membuka jalan buat Marsha ke pentas antarabangsa. Selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Marsha telah dijemput untuk mewakili Malaysia di ROUND ASEAN-Korea Music Festival 2025. Di sana, beliau mempersembahkan lagu-lagu daripada Misompuru, sekaligus mengangkat warisan muzik Borneo ke mata dunia. Jelaslah, Misompuru bukan sekadar album ia adalah lambang seni budaya yang kini diiktiraf di peringkat global.
Sesi Listening Party ini menjanjikan lebih daripada sekadar muzik. Ia merupakan satu pengalaman budaya yang menyeluruh, memperkenalkan elemen tradisi yang kaya dan unik:
- Persembahan langsung kelima-lima lagu daripada album Misompuru
- Tarian dan demonstrasi kebudayaan seperti Magunatip, Sumpit dan Sumazau
- Sajian makanan dan minuman tradisional Borneo
- Gerai jualan merchandise eksklusif Marsha Milan
Kemasukan adalah percuma, namun tempat duduk adalah terhad. Peminat disarankan untuk mendaftar awal dengan mengimbas kod QR yang disediakan. Hadir juga dengan sentuhan fesyen Borneo – siapa tahu, mungkin anda terpilih menerima hadiah eksklusif daripada Marsha sendiri!
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuk:
- Nalan Nalan (feat. Alena Murang)
- Lintah Darat (feat. Velvet Aduk)
- Pelangi Pasti
- Santai Saja
- Hey Aramai Ti (feat. Datuk Francis Landong)
Album Misompuru kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama. Namun, untuk merasai sepenuhnya roh dan semangat Borneo yang disampaikan dalam setiap lagu, suara dan persembahan Marsha Milan, pastikan anda hadir sendiri ke acara ini!
Ikuti perkembangan terkini Misompuru dan projek-projek Marsha Milan melalui akaun media sosial rasmi Alternate Records & Talents di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).