Tue. Nov 19th, 2024

    Ramadan yang istimewa selalu meninggalkan kenangan yang mendalam dan memberikan pelbagai pengajaran dalam kehidupan setiap individu yang menjalani ibadah ini.

    Kedatangan Ramadan bukan hanya sekadar ritual yang berulang, tetapi satu peluang untuk setiap orang yang beriman memeriksa tahap dan kualiti takwa yang ada dalam diri. 

    Mengambil keberkatan bulan suci itu, Berkat Budi dengan kerjasama HS Shazlicious Trading menjayakan Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan di Royale Chulan, Seremban pada 29 Mac ini.

    Menariknya, persembahan ini menampilkan dua penyanyi legenda tanah air iaitu Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Hattan.

    Pembabitan Hattan pada persembahan kali ini pastinya menjadi tumpuan apatah lagi selepas dia mengumumkan mahu bersara daripada nyanyian pada Jun depan.

    Seperkara yang menarik perhatian juga adalah sejak kebelakangan ini Hattan dilihat memilih untuk menjayakan persembahan bersama barisan penyanyi otai seperti sebelumnya menerusi Konsert Ijmal Cinta Ramadan yang diadakan pada 23 Mac lalu.

    Hattan berkata, dia mahu berkongsi pentas dengan legenda dalam industri muzik tempatan yang dianggap sesuatu yang mengujakan.

    “Saya memang mahu berkongsi pentas bersama legenda dalam industri muzik tempatan. Ia adalah satu peristiwa yang tidak hanya menarik, tetapi juga dinantikan dengan penuh keterujaan oleh peminat setia muzik tempatan. 

    “Sesuatu yang cukup istimewa untuk dapat berkongsi pentas dengan seorang legenda dalam industri muzik tempatan. Ia pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Semoga persembahan ini akan memberikan inspirasi dan kegembiraan kepada semua yang hadir menonton,” katanya.

    Berkongsi mengenai persembahan pada Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan, Hattan berharap penonton yang hadir bukan sahaja dapat berhibur, tetapi juga memberi suntikan rohani dalam diri mereka sesuai dengan bulan suci Ramadan ini.

    “Saya berharap agar penonton dapat merasai kegembiraan yang luar biasa dan juga mendapat inspirasi rohani yang membangkitkan semangat mereka dalam bulan mulia Ramadan ini. 

    “Insya-Allah, saya bersama Dato’ Jamal bakal mempersembahkan kesinambungan muzik dengan begitu indah dalam suasana yang penuh dengan keberkatan ini,” katanya.

    Sementara itu, Jamal berharap pengisian daripada persembahannya dengan Hattan tidak hanya diterima dari sudut nyanyian semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah makna Ramadan dalam diri.

    “Saya berharap agar pengisian daripada persembahan kami tidak hanya diterima dari segi kebolehan nyanyiannya semata-mata, tetapi lebih jauh lagi, agar makna Ramadan yang mendalam dapat terserap dan dihayati oleh setiap individu yang mendengarnya. 

    “Agar kita semua tahu, pentingnya untuk menyampaikan pesan keagamaan bukan saja menerusi dakwah dan ceramah, tapi juga melalui seni dan hiburan,” katanya.

    Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan turut mendapat kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan selaku rakan strategik. Sumbangan juga bakal diberikan kepada bekas atau balu anggota polis dan artis kelahiran Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan.

    Tiket menerusi penjualan meja dijual pada harga RM15,000 (Table VVIP); RM12,000 (Table VIP); RM8,000 (Table Platinum); RM6,000 (Table Gold) dan RM4,000 (Table Silver). Untuk tempahan boleh menghubungi Hatta 018 223 9934 dan Shasha 019 769 5588.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *