Wed. Nov 27th, 2024

    Sudah tiba masanya untuk menguji kemahiran juara memasak di Dapur Tempur! Rancangan realiti masakan terbaharu di TV9 ini menggabungkan lapan pasangan keluarga yang pelbagai dan dinamik dengan minat memasak terhadap satu sama lain di Dapur Tempur.

    Dapur Tempur yang bakal bersiaran sebanyak 8 episod akan menemui penonton bermula 3 November 2022, setiap hari Khamis, jam 8.30 malam di TV9 dan juga melalui strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

    Sidang media untuk mengumumkan program realiti terbaharu Dapur Tempur ini telah dihoskan oleh Haziq Hussni di Sunway Geo Avenue pada hari ini. Program realiti Dapur Tempur ini menampilkan Yasmin Hani sebagai hos manakala selebriti terkenal Sheila Rusly dan cef selebriti Chef Adu Amran menggalas tugas sebagai juri tetap. Setiap episod juga menampilkan juri-juri jemputan yang akan sama-sama menilai aneka juadah yang disediakan oleh peserta Dapur Tempur. Antara juri jemputan termasuk Nana Mahazan, Ayda Jebat, Afifah Nasir, Naim Daniel, Ropie, Sissy Imann, Bell Ngasri dan Michael Ang.

    Menurut Puan Khairunnisa Kamarulzaman, Pengurus Besar, Pengurusan Kandungan & Siaran TV9, “Program Dapur Tempur adalah program realiti masakan pertama yang akan bersiaran di TV9 setelah penjenamaan semula stesen tv ini pada tahun lepas. Sudah pastinya kami amat teruja untuk menyajikan program realiti terbaharu kepada penonton setia kami kerana ia bakal menghiburkan seisi keluarga setiap malam Khamis dengan pelbagai gelagat peserta yang bertanding serta mereka juga bakal mendapat tips-tips masakan yang boleh dimanfaatkan. Seiring dengan imej Janji Happy di TV9 yang menjadi destinasi keluarga yang menghidangkan barisan program untuk tontonan keluarga, kami juga berharap agar program Dapur Tempur ini bakal menjadi rancangan pilihan keluarga di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja bersama Panasonic dan NONA yang turut sama memeriahkan lagi program Dapur Tempur.”

    Sesi uji bakat telah diadakan seawal Februari 2022 untuk mencari pasangan keluarga yang mahir memasak kerana kumpulan peserta terpilih perlu menyediakan dua hidangan menarik mengikut tema yang telah ditetapkan setiap minggu. Lebih menarik lagi, terdapat cabaran yang akan menguji kebolehan dan kesabaran peserta untuk memasak di bawah tekanan. Antara cabaran-cabaran yang perlu mereka lalui adalah cabaran Tukar Bakul di mana setiap kumpulan perlu menukar bakul bahan masakan mereka bersama kumpulan lain, cabaran Keluarga Serasi Atau Sendu di mana hanya satu peserta sahaja yang akan memasak dan pasangannya mengambil alih tugas memasak selepas beberapa minit tanpa komunikasi antara mereka, cabaran Masak Apa Yang Ada di mana mereka perlu menyediakan menu mingguan dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang telah disediakan dan banyak lagi.

    8 pasangan keluarga yang terpilih sebagai peserta adalah pasangan bapa & anak saudara “Pendekar Malaya” (Irfan Hariz S Miswandi, 20 & Mohd Haizal Ismail, 47), pasangan biras “AA” (Rahayu Jani, 48 & Mariani Mustafa, 45), pasangan ibu & anak “Sudap Sudip” (Halifah Jaafar, 59 & Muhammad Ariff Haron, 37), pasangan kakak & adik “Seketul Rasa” (Idziatul Shima Samarudin, 42 & Muhammad Hanis Samarudin, 32), pasangan suami isteri “Selerak Selegho” (Muzhaffar Mohamed, 32 & Shaidhatul Aqmalis Zainul Akmal, 29), pasangan abang & adik “Zest” (Mohd Hafzy Mohd Yusof Senusi, 45 & Norhaiza Mohd Yusof Senusi, 36), pasangan kakak & adik “9Siblings” (Nusaybah Che Anuwa, 38 & Tasnim Che Anuwa, 29) dan pasangan suami isteri “Masam Manis” (Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli, 38 & Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 31).

    Dapur Tempur dibawakan oleh penaja bersama Panasonic, “Hidup sihat setiap hari bersama Panasonic” dan NONA, “Jom #NONAKanHarimu, Pelbagai Rasa, Semudah Rasa dan Seenak Rasa”, manakala MyResipi selaku rakan digital rasmi.

    Menurut Encik Jonathan Ang, Pengurus Besar Pemasaran Produk Perkakas dan Khidmat Pelanggan, Panasonic Malaysia, “Untuk menjaga kesihatan, setiap individu perlu mula menitikberatkan penjagaan diet pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Antara mesej yang kami ingin sampaikan sebagai Penaja Bersama adalah kami berharap penonton dapat melihat kepentingan nilai-nilai tersebut dalam penyediaan menu dan hidangan yang disediakan oleh peserta-peserta Dapur Tempur. Rangkaian produk Panasonic yang versatil dan padat dapat membantu para peserta dan juga penonton untuk mendapatkan hidangan yang sihat dengan mudah dan pantas.”

    Menurut Encik Zainal Abidin Musa, Pengarah Eksekutif dan Pengarah Pemasaran NONA, “NONA bersedia menjadi sebahagian daripada pengalaman masakan untuk rakyat Malaysia menerusi pelbagai rangkaian produk yang sedap dan mudah untuk digunakan. Kami berharap penglibatan NONA sebagai Penaja Bersama untuk program Dapur Tempur dapat memberi inspirasi kepada penonton dalam penyediaan hidangan buat insan tersayang melalui penggunaan produk-produk NONA seperti Kicap Lemak Manis NONA, Sos Berperisa Tiram NONA, Ketupat Mini NONA dan banyak lagi.”

    Juara Dapur Tempur bakal memenangi hadiah wang tunai RM6,000 beserta ketuhar stim cubie Panasonic dan bekalan produk NONA selama setahun manakala naib juara bakal memenangi hadiah wang tunai RM4,000 dan periuk nasi IH Panasonic. Pemenang mingguan pula membawa pulang hadiah wang tunai RM500 tajaan NONA manakala pemenang cabaran NONA dalam episod-episod tertentu membawa pulang hamper produk NONA bernilai RM1,000.

    Kru penerbitan Dapur Tempur diketuai oleh Intan Noorbaizura Aliuddin selaku penerbit eksekutif dan Shukrin Farahida Mohd Kashim selaku penerbit. Jangan lepaskan peluang untuk menonton pertandingan memasak yang bakal menghiburkan seisi keluarga ini di program realiti Dapur Tempur, mulai 3 November 2022, setiap hari Khamis, jam 8.30 malam di TV9 dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my. Gunakan #dapurtempur dan filter berkonsepkan game Dapur Tempur di Instagram untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

    Ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial dan layari http://www.xtra.com.my/ untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *