Mon. Jun 30th, 2025

Kumpulan muzik indie tempatan yang semakin mendapat perhatian, Dukes, kembali menyentuh emosi pendengar menerusi single terbaharu mereka berjudul Bila Kau Datang Menangis. Lagu ini mengangkat tema keinsafan, harga diri dan keberanian untuk keluar daripada hubungan yang tidak seimbang serta tidak adil.

Merupakan karya kelima bersama Alternate Records, lagu ini hadir dengan sentuhan pop rock moden yang lebih matang dan bersifat peribadi. Ditulis oleh Rayyan Razzaq dan Hazim Osman, serta digubah sepenuhnya oleh anggota kumpulan Dukes sendiri, Bila Kau Datang Menangis mengisahkan tentang seorang lelaki yang sering dijadikan tempat persinggahan emosi oleh seorang wanita, namun hanya ketika wanita itu sedang berduka. Akhirnya, lelaki itu memilih untuk bangkit dan melepaskan hubungan yang tidak lagi memberi ruang untuk dirinya dihargai.

“Lagu ini kami dedikasikan kepada sesiapa sahaja yang pernah merasakan diri hanya sebagai ‘pilihan kedua’ dalam sesebuah hubungan. Ia bukan sekadar luahan rasa, tetapi juga sebagai satu semangat untuk belajar menghargai diri sendiri. Dengarkan dengan hati yang terbuka, kami yakin anda akan merasai sesuatu,” ujar Dukes.

Menurut Dukes, lagu ini merupakan antara karya yang paling mencabar buat mereka dari segi teknikal dan emosi. Ia menuntut mereka menyampaikan muzik dengan cara yang berbeza daripada kebiasaan, sekali gus memerlukan keberanian untuk keluar daripada zon selesa demi menyampaikan intipati lagu ini sepenuh jiwa.

Menambah kekuatan pada karya ini, Bila Kau Datang Menangis turut menerima sentuhan magis daripada Taja, anggota kumpulan Meet Uncle Hussain yang pernah menghasilkan lagu-lagu hits seperti Pokok dan Lagu Untukmu. Ini merupakan kolaborasi pertama Dukes bersama Taja, dan ia membuka peluang untuk mereka meneroka dimensi muzik yang lebih segar dan dinamik.

“Dengan tunjuk ajar Taja, kami berpeluang meneroka susunan muzik yang lebih matang serta menampilkan naratif yang lebih realistik dan dekat dengan kehidupan sebenar pendengar,” jelas Dukes.

Bila Kau Datang Menangis bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi lebih kepada luahan jiwa mereka yang pernah terluka, ditinggalkan, dan akhirnya memilih untuk mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Dukes berharap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar, khususnya mereka yang pernah berada dalam situasi yang sama.

Kumpulan Dukes dianggotai oleh Ziggy selaku vokalis, Rayyan dan Jimbo sebagai pemain gitar, Umar di posisi bass, serta Cheng sebagai pemain dram. Lagu ini dianggap sebagai antara karya penting dalam perjalanan seni muzik mereka, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk berkembang dalam industri muzik tempatan.

Bila Kau Datang Menangis kini boleh distrim melalui semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. Dengarkan dan hayatilah lagu ini dengan hati yang terbuka, kerana kadangkala, melepaskan adalah bentuk cinta terbaik untuk diri sendiri.

Untuk mengikuti perkembangan terkini tentang Dukes dan Alternate Records, orang ramai boleh mengunjungi laman media sosial rasmi mereka di Instagram (@alternate.my_), TikTok (@alternate.rt_) dan Facebook (@alternate.my).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *