Duta Besar Malaysia ke China Lawat Kilang Pembuatan Telefon Boleh Lipat Berteknologi AI HONOR. Selepas pelancaran telefon pintar boleh lipat ultra nipis HONOR Magic V5 di Malaysia minggu lalu, Duta Besar Malaysia ke China, Dato’ Norman Muhamad, telah mengadakan lawatan rasmi ke Kilang Pembuatan Pintar L4 HONOR di China. Kilang berteknologi tinggi ini terletak di Kawasan Perindustrian Pembuatan Pintar HONOR, yang terkenal dengan kadar automasi pengeluaran yang tinggi dan dikawal sepenuhnya oleh sistem kecerdasan buatan (AI). Kilang ini turut bertanggungjawab dalam penghasilan model-model telefon pintar boleh lipat HONOR, termasuk HONOR Magic V5 yang baharu.
Dalam sesi lawatan tersebut, Dato’ Norman memuji keupayaan teknologi pembuatan HONOR yang canggih serta komitmen berterusan syarikat itu terhadap inovasi. Beliau turut menekankan daya saing produk HONOR yang berpaksikan strategi Alpha Plan, sambil menyuarakan harapan agar lebih banyak produk HONOR yang berkualiti tinggi dan berteknologi terkini dapat diperkenalkan kepada pengguna di Malaysia dan seluruh rantau ASEAN. Menurut beliau, langkah ini akan dapat menyokong pembangunan ekonomi digital serantau.

Dato’ Norman turut melawat ruang pameran produk HONOR di mana beliau diberikan taklimat mengenai pendekatan menyeluruh syarikat itu terhadap inovasi, termasuk aspek simulasi, pembangunan algoritma, penyelidikan bahan baharu serta penyelesaian kesambungan termaju. Beliau juga berpeluang merasai pengalaman ekosistem produk all-scenario HONOR, yang mencerminkan aspirasi jenama itu untuk berkembang melepasi pasaran telefon pintar semata-mata.
Kawasan Perindustrian Pembuatan Pintar HONOR yang dilancarkan pada tahun 2021 kini menjadi lambang utama kepada kejayaan pembuatan berasaskan AI. Barisan pengeluarannya telah diautomasi sehingga 75%, dengan sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh pasukan penyelidikan dan reka bentuk HONOR sendiri. Kilang ini menggunakan teknologi pemasangan berketepatan tinggi yang mampu mencapai toleransi sekecil 75 mikron dan menghasilkan sebuah telefon pintar dalam masa hanya 28.5 saat.
Lawatan Dato’ Norman ini memperkukuhkan hubungan teknologi dan kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang ekonomi digital dan pembuatan pintar. Ia juga memperlihatkan komitmen HONOR untuk terus memperkenalkan produk inovatif berasaskan AI ke pasaran global, termasuk Malaysia dan rantau sekitarnya.