Sebuah sejarah baharu bakal dilakar dalam industri muzik tanah air apabila empat figura terkenal dari dua generasi seni bergabung dalam sebuah konsert istimewa yang dirancang penuh teliti. Dinamakan Empat Live In Kuala Lumpur 2025, konsert ini akan menggabungkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel – bukan sahaja sebagai penyanyi hebat, tetapi juga sebagai satu keluarga dalam ikatan darah dan cinta terhadap muzik.
Dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 akan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur. Konsert ini bukan sekadar pertunjukan hiburan, malah menjadi simbol kasih sayang dan silaturahim dalam satu keluarga seni yang telah lama mencorakkan industri muzik tempatan dan Nusantara.
Ini adalah kali pertama empat ahli keluarga yang berbeza generasi ini – Ziana dan Anuar sebagai adik-beradik, Ernie sebagai anak saudara dan Syamel sebagai suami Ernie – akan bergandingan di atas satu pentas. Konsert ini telah lama dirancang, namun faktor jadual yang padat menyebabkan perancangannya hanya dapat direalisasikan tahun ini.
“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan berkongsi pentas dengan kakak saya, Ziana, dan anak saudara kami, Ernie serta suaminya, Syamel. Tetapi inilah takdir indah yang dirancang rapi. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan tentang kami berempat semata-mata, tetapi tentang cinta, bakat dan penghargaan terhadap peminat yang selama ini menyokong kami tanpa henti,” ujar Anuar Zain.

Ziana Zain pula menyifatkan konsert ini sebagai satu temasya cinta dan penghargaan terhadap peminat pelbagai generasi. “Peminat bukan sahaja datang untuk menyaksikan persembahan tetapi untuk menikmati karya daripada dua generasi – generasi saya dan Anuar serta generasi baharu yang diwakili Ernie dan Syamel. Saya mahu mereka pulang dengan kenangan yang indah dan momen yang takkan dilupakan,” katanya penuh semangat.
Ernie Zakri pula tidak dapat menyembunyikan rasa sebaknya apabila impiannya akhirnya menjadi kenyataan. “Saya menangis bila mendapat pelawaan untuk konsert ini. Membesar dengan melihat usaha ibu dan bapa saudara saya dalam industri, dan kini dapat berdiri bersama mereka di pentas adalah sesuatu yang saya sangat syukuri. Ia seperti mimpi jadi nyata,” kata Ernie yang menganggap Empat Live In Kuala Lumpur 2025 sebagai satu titik penting dalam perjalanan seninya.
Bagi Syamel pula, kolaborasi ini membuka ruang untuknya membuktikan kemampuan dan meraikan seni dalam lingkungan keluarga baharu yang penuh pengalaman dan kehebatan. “Saya percaya kombinasi kami berempat mampu melahirkan konsep persembahan yang unik dan bertenaga. Ia bukan sekadar hiburan tetapi satu penghormatan,” katanya.

Konsert ini turut mendapat sentuhan pengarah konsert berpengalaman, Jennifer Thompson dan pengarah muzik Sze Wan yang akan mengemudi barisan pemuzik handalan tanah air. Jennifer menjanjikan pengalaman istimewa yang hanya dapat dirasai dalam konsert ini sahaja – termasuk kolaborasi unik dan lagu-lagu dari empat dekad berbeza yang akan mencetuskan nostalgia serta keterujaan.
Tiket untuk menyaksikan Empat Live In Kuala Lumpur 2025 boleh didapati bermula 25 April 2025 menerusi laman web https://www.ticket2u.com.my/empatkl dengan harga bermula RM288 hingga RM2,088. Kategori istimewa Royal Twin Seat turut ditawarkan untuk pengalaman eksklusif. Peminat OKU juga dialu-alukan dengan saluran pembelian khas melalui talian hotline +6011-1190 0518.
Inilah masanya untuk para peminat menyaksikan kolaborasi keluarga paling bersejarah dalam dunia hiburan tanah air. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar konsert biasa, tetapi lambang kasih, kesatuan dan penghargaan terhadap seni muzik Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Anda minta, mereka realisasikan.