Wed. Aug 6th, 2025

Penyanyi muda berbakat besar, Fajar Noor, yang pernah mencuri perhatian jutaan penonton apabila dinobatkan sebagai naib juara Indonesian Idol musim ke-13, kini melangkah ke pasaran muzik Malaysia menerusi kunjungan promosi sulungnya di Kuala Lumpur.

Selama tiga hari berada di ibu negara, dari 3 hingga 5 Ogos, Fajar Noor mengisi jadualnya dengan pelbagai aktiviti promosi, termasuk persembahan televisyen, temu bual bersama media, sesi fotografi, serta makan malam eksklusif bersama peminat bertuah. Kehadirannya disambut penuh mesra oleh peminat tempatan yang teruja melihat kemunculan penyanyi bersuara lunak ini.

Fajar hadir memperkenalkan single sulungnya, Tahta Hatiku #Pendampingmu, hasil ciptaan komposer terkenal Indonesia, Yovie Widianto, dengan lirik oleh Arsy Widianto. Lagu ini membawa mesej cinta tulus yang tetap setia mendampingi insan tersayang walaupun tidak dapat memilikinya sepenuhnya.

Tahta Hatiku #Pendampingmu adalah tentang mencintai dalam diam. Tidak semua cinta dapat bersatu, tetapi keikhlasan untuk tetap berada di sisi adalah bentuk cinta yang paling murni. Saya yakin ramai yang pernah merasakannya,” jelas Fajar.

Beliau turut mengakui bahawa mesej dalam lagu ini selari dengan keperibadiannya yang lebih selesa mengekspresikan perasaan melalui karya seni berbanding kata-kata. “Sebagai pendatang baharu, saya mahu muzik saya berbicara mewakili hati saya. Sambutan positif di Indonesia sangat mengujakan, dan saya berharap ia juga akan mendapat tempat di hati pendengar Malaysia,” tambahnya.

Kunjungan ini juga menjadi langkah awal untuk Fajar Noor mengembangkan sayapnya di rantau ini, dengan sokongan padu Universal Music Malaysia serta pengikut yang semakin bertambah di media sosial dan platform penstriman. “Saya mahu membina hubungan erat dengan peminat di Malaysia. Ini hanya permulaan, dan saya berjanji akan kembali dengan lebih banyak karya dan persembahan istimewa,” katanya penuh semangat.

Berbekalkan bakat, personaliti merendah diri dan lagu yang sarat emosi, Fajar Noor kini bersedia mengukuhkan namanya di hati peminat Malaysia sebelum melangkah ke pentas antarabangsa.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *