Wed. Jul 16th, 2025

Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 (AMK Indie 2025) bukan dibatalkan, tetapi dianjak satu keputusan sukar yang mendedahkan realiti getir dunia muzik tempatan hari ini. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak penganjur bersama, Westzone Entertainment, festival yang sepatutnya berlangsung Ogos ini kini dijadualkan pada 29 hingga 30 November 2025, masih di lokasi asal, Sepang International Circuit.

Keputusan ini bukan dibuat dalam kekalutan, tetapi setelah meneliti sambutan yang jauh daripada jangkaan satu cerminan bahawa sokongan terhadap muzik indie dan alternatif tempatan masih belum memadai untuk menjayakan acara sebesar ini.

“AMK Indie 2025 dibina dengan semangat untuk meraikan muzik kita sendiri, dari akar yang jujur dan suara yang tak selalu diberi ruang. Tapi tanpa sokongan yang kuat, amat sukar untuk festival ini hidup seperti yang kami impikan,” jelas Encik Aiman, Pengarah Westzone Entertainment.

Beliau menegaskan bahawa ini bukan penyerahan kalah. Sebaliknya, penundaan ini adalah langkah untuk mengukuhkan asas memberi lebih masa untuk memperluas promosi, memperkasa jaringan komuniti, dan memastikan penganjuran yang benar-benar berbaloi buat semua yang terlibat.

“Kami tahu scene ini masih hidup. Kami percaya dengan potensi muzik alternatif Malaysia. Tapi cabaran seperti persaingan konsert besar dan ruang promosi yang terhad buat kami sedar untuk kami perlu rancang semula. Lebih masa bermakna lebih peluang untuk buat lebih baik,” tambahnya.

Walaupun bertukar tarikh, senarai asal 21 band indie Malaysia kekal tidak berubah. Ini termasuk nama-nama yang mewakili pelbagai spektrum muzik bebas tempatan. Malah, penganjur menjanjikan pengalaman festival yang lebih ‘tajam’, tersusun dan bermakna menjelang November nanti.

Penangguhan ini juga menyentuh isu yang lebih besar betapa sukar dan mahalnya mempertahankan ruang buat muzik tempatan jika tanpa sokongan menyeluruh. Bukan sekadar penganjur yang terkesan, tetapi barisan artis, kru teknikal, penyedia lokasi dan seluruh rantaian kreatif yang bergantung kepada kelangsungan acara ini.

Akhirnya, penganjur berpesan nasib festival seperti AMK Indie 2025 bukan ditentukan oleh bajet semata-mata, tetapi oleh komitmen sebenar peminat. Hadir, beli tiket, sebarkan – itulah sumbangan paling bererti dalam perjuangan muzik tempatan.

Tiket yang telah dibeli sebelum ini akan kekal sah untuk tarikh baharu, dan versi terkini akan dikeluarkan kepada semua pembeli menjelang acara. Harga kekal serendah RM80, tanpa sebarang kenaikan – sebagai simbol akses terbuka kepada semua yang ingin menyokong.

Sebagai langkah keterbukaan, pihak penganjur akan mengadakan sesi siaran langsung khas pada Selasa, 15 Julai 2025 jam 8.00 malam menerusi TikTok, Instagram dan Facebook Live di akaun rasmi @coactionmagic. Sesi ini terbuka kepada pembeli tiket, peminat serta rakan media yang ingin mengetahui lebih lanjut dan bertanya soalan secara langsung.

Kerana akhirnya, festival ini bukan hanya tentang muzik – ia tentang komuniti, perjuangan, dan kepercayaan bahawa suara tempatan juga layak bergema di pentas besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *