Syarikat produksi tempatan D Alpha Legacy telah menang dalam kategori khas ‘Best Psychological Film’ di Cannes World Film Festival (CWFF) serta memenangi anugerah di World Film Carnival – Singapore (WFCS) yang ke-33 adalah pengiktirafan yang hebat bagi pencapaian mereka. Karya asli berjudul ‘KORSAKOFF’ telah membuktikan kualiti dan kebolehan kreatif yang tinggi, mengukuhkan kedudukan industri filem tempatan di arena antarabangsa.
Menurut Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor, selaku Pengasas D Alpha Legacy, “Alhamdulillah, segala kerja keras keseluruhan pasukan produksi dan pelakon-pelakon hebat negara kita terasa berbaloi apabila karya anak tempatan diiktiraf di mata dunia oleh para penilai antarabangsa.
“Kami sekadar mencuba nasib dengan menghantar penyertaan dan akhirnya
dimaklumkan sebagai pemenang untuk bulan Ogos kategori bagi ‘Best Psychological Film’, banyak juga negara lain yang menghantar karya mereka namun nasib berpihak kepada kami, terima kasih diatas pengiktirafan ini.
Walaupun filem ini sudah pun dipertontonkan di hadapan juri-juri profesional antarabangsa untuk dinilai, rakyat Malaysia hanya berpeluang menontonnya secara rasmi dan juga eksklusif, ‘Di Pawagam Rumah Anda’ Astro First bermula 14 Mac 2024 ini.
Dibintangi oleh barisan pelakon pemenang anugerah tanah air seperti Erra Fazira, Azhan Rani, Iqram Dinzly, Ning Baizura dan watak utamanya iaitu ‘Jelita’ dipegang oleh pendatang baharu, Elly Arifin.
Aminahtul berkata “Walaupun Elly adalah aktres baharu dan kali pertama memegang watak heroin, dia disokong oleh pelakon-pelakon handalan negara, dan kerjasama diantara mereka inilah yang membuatkan filem ini berjaya.
“Pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam menghidupkan watak filem ini, sebagai contoh, Erra adalah seniwati negara yang tidak perlu dipertikaikan lagi bakatnya, manakala Azhan merupakan seorang pelakon method yang disegani, bagi Iqram pula, ramai yang merindui lakonan bermutunya, manakala Ning pula mempunyai presence yang kuat di layar kamera dan bagi Elly sendiri, seorang pelakon yang berpotensi dan mampu untuk pergi jauh.
Idea asal filem ini tercetus dari perbualan diantara pengarah, penerbit dan penulis skrip yang gemarkan cerita-cerita berunsurkan psikologi dan pada masa yang sama, ingin berkongsi informasi tentang kondisi penyakit Korsakoff ini.
Kongsi Aminahtul, “Kami hanya berbual kosong sesama sendiri dan berhasrat mengetengahkan kewujudan penyakit ini, maka terhasillah sinopsisnya sebelum ia berkembang menjadi sebuah naskhah yang diterbitkan.
“Naskhah ini diilhamkan dari kisah-kisah benar yang pernah berlaku dan ada hubung kaitnya dengan penyakit Korsakoff itu sendiri yang kemudiannya dijadikan sebuah cerita imaginasi bersama.
“Manakala proses penggambaran mengambil masa kira-kira 15 hari, ini tidak termasuk sesi lakon layar yang memakan masa 4 bulan lebih.
Pihak produksi, D Alpha Legacy juga turut berkolaborasi dengan aplikasi media sosial yang popular iaitu TikTok Malaysia dalam usaha mereka menyokong karya-karya filem tempatan yang bermutu.
Walaupun penyakit Korsakoff itu sendiri jarang didengari, namun ianya wujud di kalangan kita, dan D Alpha Legacy mahu masyarakat Malaysia fahami apakah ia secara am melalui medium yang cukup menghiburkan.
“Naskhah ini jauh dari sempurna dan banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki, namun kami berharap ia dapat memberikan satu ilmu baharu melalui keseronokan menonton bersama keluarga di bulan Ramadhan nanti,” akhiri Nur Aminahtul Marrdiah.
Jangan lupa untuk saksikan sendiri filem KORSAKOFF ‘Di Pawagam Rumah Anda’ yang bakal ditayangkan bermula 14 Mac 2024 ini.
Untuk melanggan, sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand dengan harga hanya RM15 (tidak termasuk cukai), dan anda boleh menontonnya selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.