Apa jadi bila seorang mover bermimpi besar untuk jadi usahawan kopi tapi poket kosong? Jawapannya ada dalam Bru, sebuah drama bersiri komedi segar arahan pengarah terkenal Nik Amir Mustapha yang bakal ditayangkan eksklusif di Tonton mulai 1 Mei 2025. Dibintangi oleh pelakon popular Shukri Yahaya, siri 10 episod ini mengangkat kisah perjuangan dan persahabatan dalam dunia perniagaan kopi jalanan yang penuh warna dan cabaran.
Dalam Bru, Shukri Yahaya tampil sebagai Shah, seorang penghantar barang (mover) yang bercita-cita tinggi untuk membuka perniagaan kopi sendiri meskipun tidak memiliki sebarang modal. Dengan hanya berbekalkan sebuah van lama warisan ayahnya dan semangat juang yang membara, Shah nekad untuk mengubah hidupnya. Watak Shah menggambarkan anak muda yang obses dengan kejayaan dan enggan mengalah walaupun dihimpit kesukaran hidup.
Shah tidak keseorangan dalam pengembaraan ini. Turut sama menyemarakkan cerita ialah watak Hani, seorang barista berbakat lakonan Siti Hariesa, yang juga merupakan anak kepada seorang Tan Sri. Hani mencari kebebasan melalui dunia kopi dan menjadi tunjang penting dalam usaha Shah membina ‘kafe bergerak’ impiannya. Sahabat baik Shah, Ajan – dilakonkan oleh Amerul Affendi – pula menjadi penguat semangat dan sokongan utama sepanjang perjalanan penuh liku itu.
Bru bukan sekadar cerita tentang secawan kopi, tetapi juga kisah realiti hidup – tentang jatuh bangun dalam mengejar cita-cita, tentang persahabatan yang diuji, dan tentang bagaimana impian tidak datang mudah tanpa pengorbanan. Sepanjang episod, penonton bakal disajikan dengan pelbagai konflik menarik, dari persaingan dengan peniaga lain, kerenah pelanggan elit, hingga cabaran menjaga jentera kafe yang sering meragam. Sifat Shah yang cepat naik angin turut menambah perisa dalam dinamika hubungan sesama watak.

Menurut Shukri Yahaya, Bru menjadi naskhah istimewa dalam kerjayanya kerana ia menggambarkan sisi manusiawi yang sangat dekat dengan masyarakat. “Watak Shah dalam Bru mencerminkan realiti anak muda yang punya impian besar tetapi terpaksa bergelut dengan cabaran hidup sebenar. Ia watak yang jujur, dan saya percaya ramai yang boleh rasa dekat dengan perjuangannya. Ini juga penampilan saya selepas berehat seketika dari drama, jadi saya harap penonton akan menyambutnya dengan baik,” ujarnya.
Dengan sentuhan unik Nik Amir Mustapha yang sememangnya dikenali menerusi gaya penceritaan yang segar dan jujur, Bru menjanjikan pengalaman tontonan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh hati. Gabungan lakonan mantap dan jalan cerita yang sarat mesej menjadikan Bru antara drama tempatan yang paling dinanti untuk pertengahan tahun ini.
Saksikan Bru mulai 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis secara eksklusif di platform penstriman Tonton. Jangan lepaskan peluang mengikuti kisah Shah dan krew kopinya dalam mengharungi liku-liku perniagaan jalanan yang mencabar namun menggelikan hati.
Layari www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store untuk menikmati drama ini. Untuk kemas kini terkini, ikuti Tonton di Facebook, Instagram dan Twitter menerusi @TontonMY.