Sat. Jul 26th, 2025

Apabila cinta diuji oleh perbezaan budaya, keluarga yang terlalu rapat, dan bayangan cinta lama, adakah rumahtangga yang baru dibina mampu bertahan? Itulah persoalan yang dibawakan dengan penuh kelucuan dan emosi dalam drama terbaharu slot Akasia bertajuk Selamat Pengantin Haru!, yang bakal menemui penonton mulai 9 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam di TV3.

Menampilkan konsep sitkom mockumentary yang jarang dipersembahkan dalam drama tempatan, Selamat Pengantin Haru! mengisahkan realiti hidup sepasang pengantin baharu yang terpaksa menyesuaikan diri dengan latar belakang yang jauh berbeza. Diterbitkan oleh Zeel Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh Kyoll Hamzah, drama ini memadukan unsur komedi ringan dan drama kekeluargaan dalam 13 episod yang penuh dengan momen mencuit hati.

Kisahnya berpusat pada watak Amelie (lakonan Janna Nick), seorang wanita moden dan bebas, yang berkahwin dengan Bazlee (Dini Schatzmann), lelaki kampung yang sangat akrab dengan keluarganya. Namun, perjalanan bahagia mereka tidak semudah yang diimpikan. Amelie perlu menyesuaikan diri dengan budaya keluarga mentua yang agak mencabar, termasuk kehadiran adik-beradik Bazlee yang terlalu bergantung harap serta kemunculan Syafiqa, sepupu jauh yang masih menaruh harapan terhadap Bazlee.

Di sebalik kekecohan yang timbul, pasangan ini berusaha mempertahankan cinta mereka dan mencari keseimbangan antara kasih sayang dan tuntutan keluarga. Namun, apabila konflik semakin rumit dan fitnah mula bertebaran, Amelie terpaksa membuat keputusan besar yang bakal menentukan masa depan rumah tangganya.

Drama ini turut dimeriahkan dengan barisan pelakon berbakat seperti Malia Baby, Dato Tamimi Siregar, Serena Redzuawan dan ramai lagi, menjanjikan satu tontonan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh hati. Gabungan lakonan bersahaja Janna dan Dini yang kini bergelar pasangan suami isteri sebenar turut menjadi tarikan utama drama ini.

Menurut Janna Nick, pengalaman berlakon bersama suaminya dalam genre komedi memberi kelainan yang menyeronokkan. “Ini kali keempat kami berlakon bersama, tetapi kali ini cabarannya ialah untuk memastikan chemistry itu tampak asli dan tidak dibuat-buat. Tambahan pula, kami sering ‘bertekak manja’ dalam watak ini – jadi penonton pasti dapat rasakan sisi berbeza kami berdua,” katanya.

Jangan lupa untuk strim episod baharu 24 jam lebih awal secara eksklusif di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store untuk akses awal.

Ikuti perkembangan terkini drama Selamat Pengantin Haru! menerusi laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta @dramasangat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *