Sun. Jul 20th, 2025

Selepas kejayaan gemilang Konsert GenKRU di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kini KRU membawa gelombang fenomena mereka ke Singapura! Bagi peminat setia di Kota Singa, inilah peluang keemasan untuk merasai sendiri kehebatan KRU secara langsung menerusi GenKRU Live In Singapore yang akan berlangsung pada 28 Jun 2025 di The Star Theatre!

Ditubuhkan pada 1992, KRU telah menjadi ikon muzik tanah air yang tidak asing lagi. Walaupun mereka mengumumkan pembubaran pada tahun 2018, populariti mereka terus melonjak dan kini KRU sekali lagi menghentakkan dunia muzik dengan kebangkitan semula. Konsert di Kuala Lumpur yang berjaya menambah satu hari lagi akibat permintaan tinggi sudah cukup membuktikan bahawa peminat KRU tetap setia menyokong karya mereka.

Kini, selepas bertahun-tahun tidak mengadakan persembahan di Singapura, KRU bersatu untuk menggegarkan pentas The Star Theatre dengan aksi penuh nostalgia. “Kami amat teruja dan bangga dapat membawa GenKRU ke Singapura. Ini adalah satu penghargaan kepada peminat yang telah lama menyokong kami. Rasanya sudah lama kami tidak berinteraksi dengan mereka di sini,” kata Yusry Abdul Halim, salah seorang anggota KRU.

Menurut Iman Tang, pengasas dan pemilik ICON Entertainment, “Impian kami untuk membawa GenKRU ke Singapura akhirnya menjadi kenyataan. Kami percaya konsert ini akan memberikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada peminat di sini. Ini adalah detik yang sangat bersejarah bagi kami.”

Tiket untuk GenKRU Live In Singapore akan dijual secara berperingkat dan dijangka akan laris dijual secepat mungkin. Bagi mereka yang ingin turut serta dalam malam yang penuh nostalgia ini, pastikan anda tidak ketinggalan untuk merebut tiket yang bakal dijual di Sistic.

Bagi peminat yang ingin merasai sendiri pengalaman ‘battle tiket’, sediakan diri untuk satu pengalaman muzik yang pastinya bersejarah. Dengan kehadiran lagu-lagu popular seperti “Awas”, “Ohh! La!la!”, dan “Fanatik”, pastinya malam ini akan dipenuhi dengan sorakan gemuruh, kenangan indah, dan keriangan bersama KRU.

Maklumat Acara Artis: KRU Acara: GenKRU Live In Singapore Tarikh: 28 Jun 2025 (Sabtu) Lokasi: The Star Theatre, Singapura Masa: 8 malam Penganjur: ICON Entertainment Tiket: Sistic Laman Web: www.sistic.com.sg

Harga Tiket: SGD $208 (The Way We Jam) SGD $218 (Mengerti) SGD $228 (Awas) SGD $288 (Ohh! La!la!) SGD $328 (Fanatik)

Untuk semua peminat KRU di Singapura, bersiap-siaplah untuk satu malam yang akan mencatatkan sejarah dalam dunia muzik! Jangan lupa untuk ikuti maklumat terkini mengenai pembelian tiket dan arahan dress code yang bakal diumumkan. Siapkan suara, siap sedia dengan semangat, dan siap-siap berparty dengan KRU di GenKRU Live In Singapore!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *