Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, kembali mewarnai dunia muzik dengan pelancaran album EP terbarunya berjudul Revival. Hadir ke Kuala Lumpur bagi menjayakan sesi promosi eksklusif, Harris J menyifatkan album terbitan Awakening Music ini sebagai lambang kelahiran semula bukan sahaja dalam kerjayanya, tetapi juga dalam kehidupan peribadi dan spiritualnya. Selepas beberapa tahun menyepi daripada industri, beliau tampil dengan karya yang lebih matang, sarat dengan mesej keimanan, kasih sayang dan perjalanan jiwa yang mendalam.
Mengandungi enam buah lagu, Revival menjadi medan untuk Harris J mengekspresikan kematangan sebagai artis dan individu, dengan lirik-lirik penuh ketulusan yang mencerminkan pertumbuhan peribadinya. Beliau mengakui Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya, sambil menzahirkan rasa gembira dapat bertemu semula dengan peminat yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Harris berharap Revival bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menjadi teman setia buat para pendengar dalam perjalanan spiritual mereka.

EP ini menampilkan gabungan lagu-lagu baharu serta karya ikonik yang diberi nafas segar, termasuk ‘Qalbi Fil Madinah’ yang menampilkan kerjasama bersama Maher Zain, ‘O Allah’, ‘Salati’ dan ‘Always Listening’. Single utamanya, ‘Hayati’, diserikan dengan video muzik sinematik arahan pengarah filem Perancis-Tunisia, Idris Kheder, dengan penggambaran memukau di Granada, Sepanyol. Harris menyatakan bahawa karya ini bukan sekadar kemunculan semula dalam dunia muzik, tetapi juga misi untuk mengangkat martabat generasi muda Muslim, agar mereka lebih bangga dengan identiti Islam dan melihatnya sebagai cara hidup yang sempurna.
Berasal dari London, Harris J mula meraih perhatian global pada tahun 2015 menerusi album sulung Salam yang memuatkan lagu-lagu popular seperti ‘Salam Alaikum’, ‘Good Life’ dan ‘I Promise’. Gabungan melodi kontemporari, mesej positif dan nilai spiritual dalam karya-karyanya telah menjadikannya suara penting dalam muzik berinspirasikan keimanan. Walaupun pernah berehat seketika, Harris kini kembali dengan semangat baharu, menyambung misinya untuk menyentuh hati jutaan pendengar di seluruh dunia. Album Revival kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama, membawa harapan agar setiap bait lirik dan melodi menjadi inspirasi serta panduan jiwa buat para peminat.