Dunia perisikan tempatan kembali digegarkan dengan kemunculan siri premium terbaru Astro Originals, Honey Trap, yang akan mula ditayangkan pada 20 Jun 2025. Diangkat daripada dunia fiksyen Masraya dalam siri KUDETA (2022), Honey Trap membawa naskhah yang lebih peribadi, mendalam dan penuh emosi – menampilkan watak baharu, Surya Gabriel, seorang perisik wanita yang cemerlang namun dihantui konflik jiwa dan permainan kuasa.
Disifatkan sebagai sebuah thriller perisik yang sarat dengan aksi dan drama psikologi, Honey Trap diterajui oleh pelakon baharu Nina KSC, yang buat pertama kalinya memegang watak utama sebagai Surya. Turut membintangi ialah Syarul Ezani, Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Chazzy Nash, Amyza Aznan, Eugene Ong, May June, Dai Fuad, dan Sefik Khair. Tidak ketinggalan, penampilan khas watak-watak daripada KUDETA yang pastinya menggamit nostalgia peminat siri terdahulu.
Disiarkan sebanyak 8 episod dan 2 episod istimewa, Honey Trap menelusuri cabaran Surya dalam membanteras kumpulan pemberontak di Masraya, sambil merekrut seorang aset yang mempunyai hubungan sulit dengan musuh. Namun, apabila kerjasama mereka berkembang menjadi hubungan intim, dilema antara tugas dan perasaan mula menggugat integriti serta misi utamanya.

Diarahkan oleh Imran Sheik, pengarah asal KUDETA, naskhah ini turut mendapat sentuhan penulisan kreatif daripada Siti Marzuliana Marzuki, Zuli Ismail, Amar Amir, Lemuel Ong dan Syakir ‘Mo’ Zakii. Siri ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama produksi Lacuna Pictures.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Honey Trap, “Siri ini membawa dimensi baharu dalam genre perisikan tempatan dengan mengetengahkan suara feminin sebagai pusat naratif. Ia bukan sekadar kisah misi rahsia, tetapi menyentuh isu-isu sosial penting seperti kesihatan mental di tempat kerja, kuasa toksik dalam organisasi, dan permainan manipulasi dalam struktur autoriti.”
Pengarah Imran Sheik pula menjelaskan bahawa ilham Honey Trap datang daripada pengalamannya menjaga ahli keluarga yang menghidap skizofrenia. “Watak Surya diilhamkan untuk menunjukkan kekuatan sebenar seseorang yang berjuang dengan kesihatan mental. Kami tidak mahu sensasikan penyakit ini, tetapi ingin membuka mata masyarakat terhadap perjuangan mereka,” ujarnya.

Menariknya, Honey Trap turut menampilkan kolaborasi strategik bersama Goodday Charge, susu diperkaya pertama di Malaysia dengan 10 nutrien penting. Kerjasama ini melibatkan promosi bersama dan penempatan produk, serta penghasilan video khas berdurasi 30 saat sebagai sebahagian daripada kempen.
Jadual tayangan rasmi Honey Trap:
- On Demand & sooka – setiap Jumaat, bermula 20 Jun 2025, 12 tengah malam
- Astro CITRA (Saluran 108) – setiap Jumaat, 9.00 malam
- Astro RIA (Saluran 104) – setiap Isnin, 9.00 malam
- 2 episod pertama boleh distrim serentak pada 20 Jun di On Demand
Untuk lebih banyak kandungan eksklusif, klip menarik dan perkembangan terkini, ikuti Astro Shaw di semua platform media sosial termasuk TikTok, Instagram, X dan Facebook. Gunakan tanda pagar rasmi #HoneyTrap dan #SeducingTheCorrupt untuk menyertai perbualan dalam talian bersama peminat lain.