Wed. Jun 18th, 2025

Malaysia, bersedialah untuk sebuah malam yang akan menggetarkan jiwa dan mempesonakan mata. Hael Husaini, ikon muzik tanah air yang terkenal dengan gaya penuh karisma, suara luar biasa dan kredibiliti seni yang tak terbantah, akhirnya bakal tampil dengan konsert solo pertamanya — Konsert Hael Husaini & Repertoire, yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, malam eksklusif ini dijanjikan sebagai sebuah pengalaman imersif yang merangkumi elemen seni visual, fesyen berkelas antarabangsa dan susunan lagu-lagu yang bakal mengimbau memori serta membangkitkan emosi.

Hael bukan nama asing dalam peta seni Malaysia. Pemenang dua kali berturut-turut Anugerah Juara Lagu menerusi “Jampi” dan “Haram” (duet bersama Dayang Nurfaizah) ini telah mencipta pelbagai lagu ikonik yang mengangkat muzik Malaysia ke pentas global. Salah satunya, “Anta Permana” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang mendapat penghormatan tersenarai dalam playlist rasmi The King’s Music Room oleh HRH King Charles III di Apple Music.

“Saya masih tidak percaya sebuah lagu ciptaan saya boleh berada dalam senarai pilihan seorang raja. Ia satu penghargaan besar bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk industri muzik Malaysia,” kata Hael dengan nada penuh syukur.

Tahun lalu menyaksikan Hael melakar lebih banyak sejarah, termasuk kemenangannya di Asian Academy Creative Awards 2024 apabila lagu “Diam” diumumkan sebagai Lagu Tema Terbaik. Dalam arena fesyen pula, Hael terus menawan dunia apabila dijemput memperagakan jenama antarabangsa seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri dan Kenzo di Milan dan Paris Fashion Week.

“Saya ingin dikenali sebagai seniman serba boleh — bukan hanya dalam bidang muzik tetapi juga dalam dunia fesyen dan kreativiti,” katanya.

Selepas memberikan petunjuk misteri di showcase Antonim Night pada 31 Mei, Hael akhirnya mengesahkan konsert ini secara rasmi ketika siaran langsung Big Stage Alpha pada 1 Jun lalu. Dua penyanyi hebat yang akan turut bersama di pentas diumumkan kemudian — Dayang Nurfaizah dan Nadeera, mewakili kekuatan sejarah dan masa depan muzik negara.

Namun kejutan tidak terhenti di situ. Hael menerusi platform X, menyelitkan persoalan penuh tanda tanya: “Siapa cakap dua je?”. Tak lama selepas itu, dua lagi nama diumumkan — Wany Hasrita dan Nabila Razali, menjadikan barisan kolaborator Hael sebuah ‘repertoire’ bintang yang luar biasa.

Konsert Hael Husaini & Repertoire bukan sekadar kompilasi lagu, tetapi sebuah pementasan yang menampilkan susunan muzik baharu, naratif emosi, dan visual sinematik yang mendalam. Para peminat bakal disajikan dengan perjalanan karier dan evolusi peribadi Hael dalam bentuk persembahan yang jujur dan menyentuh jiwa.

“Saya mahu penonton bukan sekadar datang untuk dengar lagu. Saya mahu mereka keluar dengan rasa bangga, terinspirasi dan lebih memahami siapa saya — sebagai penyanyi, pencipta lagu dan juga manusia biasa,” ujar Hael dengan penuh semangat.

Tiket & Maklumat Eksklusif Buat Peminat

Konsert ini mendapat sokongan rasmi daripada ERA, Sinar dan Gegar selaku rakan radio serta Gempak sebagai rakan digital. Tiket mula dijual pada 3 Jun 2025, jam 12 tengah hari menerusi platform ticket2u.com.my.

Berikut kategori dan harga tiket:

  • Platinum (Standing) – RM258
  • Gold (Standing) – RM168
  • Silver (Standing) – RM148
  • Bronze (Standing) – RM120
  • VIP Box (Seated) – RM588

Kelebihan Eksklusif Buat Pemilik Tiket:

  • Platinum (Standing): Poster konsert bertandatangan
  • VIP Box: Ruang peribadi untuk 10 orang, pas meet & greet, poster bertandatangan, barangan eksklusif, minuman dan hidangan ringan, serta akses masuk VIP.

Untuk segala info terkini, peminat boleh mengikuti saluran rasmi Hael Husaini dan Rocketfuel Entertainment di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *