Tue. Aug 19th, 2025

Sektor perkhidmatan negara terus menunjukkan prestasi positif apabila Indeks Volum Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, sekali gus mencapai 159.9 mata. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan terbarunya menjelaskan bahawa peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam empat segmen utama iaitu Perdagangan borong & runcit, Makanan & minuman dan Penginapan; Perkhidmatan perniagaan & kewangan; Maklumat & komunikasi serta Pengangkutan & penyimpanan; dan Perkhidmatan lain.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi suku ini dipacu oleh peningkatan 5.0 peratus dalam segmen Perdagangan borong & runcit, Makanan & minuman dan Penginapan, diikuti oleh Perkhidmatan perniagaan & kewangan (4.2%), Maklumat & komunikasi serta Pengangkutan & penyimpanan (5.4%), dan Perkhidmatan lain (7.7%). Segmen Perdagangan borong & runcit, Makanan & minuman dan Penginapan mencatatkan 160.2 mata, didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor Perdagangan borong (6.2%), Perdagangan runcit (3.7%) dan Penginapan (13.6%).

Segmen Perkhidmatan perniagaan & kewangan pula merekodkan 150.9 mata, dengan lonjakan ketara dalam subsektor Hartanah (9.4%) berikutan perkembangan projek kediaman dan komersial, di samping peningkatan dalam Profesional dan Pentadbiran & khidmat sokongan (7.6%), serta Kewangan & insurans (1.3%). Bagi segmen Maklumat & komunikasi serta Pengangkutan & penyimpanan, indeks naik kepada 176.9 mata, dipacu oleh pertumbuhan dalam Maklumat & komunikasi (3.4%) dan Pengangkutan & penyimpanan (8.4%).

Sementara itu, segmen Perkhidmatan lain melonjak 7.7 peratus kepada 136.6 mata, dipacu oleh subsektor Kesenian, hiburan & rekreasi serta Perkhidmatan persendirian & lain-lain aktiviti (8.9%), Pendidikan swasta (4.9%) dan Kesihatan swasta (9.2%), dengan subsektor kesihatan kekal mencatat permintaan yang stabil.

Secara suku tahunan, indeks volum perkhidmatan meningkat 1.1 peratus, disokong oleh pertumbuhan dalam segmen Perdagangan borong & runcit, Makanan & minuman dan Penginapan (1.8%), Maklumat & komunikasi serta Pengangkutan & penyimpanan (1.3%), dan Perkhidmatan lain (2.8%). Walau bagaimanapun, segmen Perkhidmatan perniagaan & kewangan mengalami penurunan 0.9 peratus. Bagi pelarasan musim, indeks mencatatkan penurunan 0.9 peratus berbanding suku pertama 2025, dengan penurunan terbesar dalam segmen Perkhidmatan perniagaan & kewangan (-11.7%), sementara segmen lain kekal positif.

Dalam pada itu, sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, DOSM akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan statistik mampan. Malaysia turut menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) bertemakan ‘Statistik Nadi Kehidupan’, yang turut diraikan bersama Hari Statistik Dunia Keempat bertema ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’.

Bagi memudahkan capaian maklumat, DOSM menyediakan platform OpenDOSM NextGen yang menawarkan katalog data dan visualisasi interaktif untuk analisis pelbagai sektor, boleh diakses melalui portal rasmi di https://open.dosm.gov.my.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *