Selepas kejayaan mengejut filem seram Islamik Khong Khaek di pawagam Malaysia pada tahun lalu, Monwichit Entertainment kembali dengan sebuah lagi naskhah yang menampilkan elemen keislaman tetapi kali ini dalam genre komedi romantik. Bertajuk Isan Nikah, filem ini tampil dengan idea segar apabila mengangkat isu perkahwinan campur antara dua individu berbeza budaya dan agama sebagai fokus utamanya. Meskipun bertemakan konflik, pendekatan santai dan mencuit hati menjadikan filem ini antara yang dinantikan tahun ini.
Pengarah filem, Kriangkrai Monwichit, mendedahkan bahawa ilham Isan Nikah datang daripada pemerhatian terhadap masyarakat pelbagai latar di selatan Thailand. Beliau berhasrat menampilkan cerita yang mencerminkan realiti sosial sambil menyelitkan nilai toleransi dan kasih sayang. “Isu perkahwinan campur selalunya dipandang berat, tetapi saya mahu penonton melihatnya dari sisi yang lebih ringan, lebih manusiawi, dan penuh dengan unsur humor,” katanya. Latar belakang perkampungan Muslim turut menjadi kekuatan visual dalam naratif ini.
Filem ini mengisahkan Sophia, seorang gadis Muslim dari Patani, yang mahu berkahwin dengan Bak Kai, lelaki Buddha dari wilayah Isan. Demi cinta, Bak Kai sanggup memeluk Islam untuk menghalalkan hubungan mereka. Namun, niat murni itu tidak mudah apabila abang kepada Sophia, Bang Lee, menentang keras perkahwinan tersebut atas sebab-sebab peribadi yang berakar daripada luka lama. Bang Lee merancang pelbagai taktik aneh dan melucukan untuk menggagalkan majlis perkahwinan mereka, sekaligus mencetuskan situasi yang membuatkan penonton tidak kering gusi.
Barisan pelakon yang menghidupkan cerita ini bukan calang-calang. Antaranya ialah Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn dan Adull Borsu – semuanya nama besar dalam industri hiburan Thailand. Turut mencuri tumpuan ialah influencer sensasi Amadkuciasree Doloh @ Chalee, yang membawakan watak Bang Lee dengan gaya over-the-top yang pastinya meninggalkan impak. Kombinasi antara pelakon profesional dan bintang media sosial ini menjadikan Isan Nikah lebih segar dan dekat dengan audiens muda.
Menariknya, filem ini turut menjadi platform memperkenalkan budaya masyarakat Muslim di selatan Thailand kepada penonton arus perdana. Dari segi lokasi, busana, makanan, sehingga ke dialek tempatan semuanya diselitkan dengan kemas tanpa memaksa. Elemen ini bukan sahaja menambah keaslian filem, malah menyumbang kepada usaha memperkasakan naratif minoriti Muslim dalam industri perfileman Thailand.
Isan Nikah akan ditayangkan di Malaysia bermula 17 Julai 2025 menerusi pengedaran Empire Film Solution Sdn. Bhd. Menurut Pengarah Urusan Empire Film Solution, Mohamad Zubir Badar Shair, naskhah ini merupakan satu peluang untuk memberi nafas baharu kepada genre komedi Islamik tempatan. “Kita sudah biasa dengan filem seram Thailand. Tapi Isan Nikah ini sesuatu yang berbeza ia lucu, penuh mesej dan memperkenalkan budaya yang jarang dipaparkan di skrin besar,” katanya.
Beliau juga berharap penerimaan positif penonton tempatan terhadap filem ini akan membuka ruang lebih luas kepada karya dari Thailand yang bertemakan keagamaan dan budaya. “Ini bukan sahaja tentang hiburan, tetapi tentang membuka mata kepada kepelbagaian budaya yang ada di rantau ini. Kalau Isan Nikah berjaya, ia akan jadi titik permulaan untuk lebih banyak filem seumpamanya menembusi pasaran Malaysia,” tambahnya.
Dengan gabungan cerita yang segar, pelakon berkaliber dan mesej yang menyentuh nilai sejagat seperti toleransi dan kasih sayang, Isan Nikah dijangka mencuri hati penonton dari pelbagai lapisan. Ia bukan hanya kisah cinta dua insan, tetapi kisah dua dunia yang belajar untuk menerima dan memahami antara satu sama lain dengan gelak ketawa sebagai jambatannya.