Sun. Aug 24th, 2025
Sewaktu Bahagia - Album CoverSewaktu Bahagia - Album Cover

Iskandar Zulkarnain Kembali ke Persada Muzik dengan Single Emosional “Sewaktu Bahagia”. Setelah sekian lama menyepi dari dunia seni, penyanyi pop rock Iskandar Zulkarnain, yang juga bekas vokalis Projektor Band, kini membuat kemunculan semula dengan single solo terbarunya berjudul Sewaktu Bahagia. Diterbitkan di bawah label tersohor Luncai Emas, lagu ini menandakan permulaan baharu dalam perjalanan seni beliau yang lebih matang dan peribadi. Sewaktu Bahagia merupakan sebuah karya yang penuh emosi, terbit daripada pengalaman sebenar dua penciptanya, Aidil AF dan Jeremy Erskine, yang masing-masing pernah melalui episod pahit dalam percintaan. Lirik seperti “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia” menggambarkan kekecewaan terhadap cinta yang tidak kesampaian dan kehilangan bahagia yang pernah dimiliki.

Pertemuan antara Iskandar dan Aidil berlaku secara kebetulan melalui Nabil, sepupu Iskandar yang juga rakan kepada Aidil. Setelah mengetahui bahawa Iskandar sedang mencari peluang untuk kembali aktif dalam industri muzik, Aidil segera memperkenalkannya kepada pihak Luncai Emas — dan dari situlah terjalin kerjasama yang akhirnya melahirkan Sewaktu Bahagia. Iskandar yang dikenali dengan kekuatan vokalnya dalam lagu-lagu bernuansa emosi, menyatakan rasa syukur kerana dapat bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri, termasuk Aidil AF dan Dato’ M. Nasir. “Lagu ini bukan sahaja mencerminkan kisah peribadi, tetapi juga lambang kebangkitan semula saya dalam dunia muzik,” katanya.

Menurut Iskandar, beliau berharap Sewaktu Bahagia bukan sekadar mendapat sambutan hangat, tetapi menjadi lagu malar segar yang mampu menembusi pelbagai generasi. Penghargaan turut diberikan kepada para peminat yang setia menyokongnya sepanjang perjalanan seni beliau. Lagu ini diterbitkan oleh Hidayat Nasir, seorang penerbit muda yang juga anggota kumpulan Pitahati. Menurut Hidayat, cabaran utama dalam penerbitan lagu ini ialah memastikan ia sepadan dengan karakter vokal Iskandar yang maskulin, selain membawa elemen emosional yang kuat. Lagu ini turut mendapat sentuhan daripada beberapa nama besar termasuk Zahar dari Pitahati (gitar), Faliq Mohd (jurutera bunyi), dan abang Ujang dari kumpulan Exist sebagai pemain drum.

Menariknya, lagu ini turut menerima bimbingan istimewa daripada legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, yang memberikan panduan dari segi penyampaian dan penghayatan vokal. Nasihat dan tunjuk ajar beliau ternyata memberi impak besar terhadap mutu akhir lagu ini. Sewaktu Bahagia dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 25 Julai 2025 menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas, bersama pelancaran audio digital di semua platform penstriman utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *