Industri Pembuatan Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila kapasiti penggunaan pada suku kedua 2025 direkodkan pada kadar 82.5 peratus. Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan terbaharunya menyatakan kadar ini meningkat sebanyak 0.4 mata peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya ST2 2024: 82.1% dan turut mencatat kenaikan 0.7 mata peratus berbanding suku pertama 2025 ST1 2025: 81.8%.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menjelaskan bahawa semua subsektor pembuatan berjaya mengekalkan kadar penggunaan melebihi 80 peratus. Antara subsektor yang mencatatkan kadar tertinggi ialah produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dengan 83.5 peratus, meningkat 1.2 mata peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Subsektor makanan, minuman dan tembakau turut mencatatkan prestasi cemerlang dengan kadar 83.3 peratus, meningkat 2.8 mata peratus.
Secara bulanan, peningkatan kadar kapasiti penggunaan industri juga dapat dilihat sepanjang suku kedua 2025. Pada April, kadar dicatatkan pada 81.1 peratus, Mei pada 82.9 peratus, manakala Jun mencatatkan kadar tertinggi iaitu 83.6 peratus.

Bagi industri berorientasikan eksport, kapasiti penggunaan meningkat kepada 81.6 peratus, naik 0.3 mata peratus berbanding tahun sebelumnya. Subsektor pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. serta pembuatan perabot masing-masing merekodkan prestasi memberangsangkan dengan kadar 88.8 peratus dan 87.1 peratus. Namun, terdapat industri yang kekal di bawah paras 80 peratus, antaranya pembuatan kayu, produk kayu dan gabus yang hanya mencatatkan 75.0 peratus.
Sementara itu, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik turut meningkat kepada 84.4 peratus pada suku kedua 2025, lebih tinggi 0.7 mata peratus berbanding tahun sebelumnya. Pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler menjadi penyumbang utama dengan kadar 88.2 peratus, diikuti subsektor pembuatan produk prosesan makanan pada kadar 86.1 peratus. Bagaimanapun, industri pembuatan kertas dan produk kertas masih rendah dengan 75.9 peratus. Antara faktor yang mempengaruhi kapasiti penggunaan tidak penuh termasuk permintaan pasaran yang perlahan, kekangan bekalan bahan serta penyelenggaraan mesin dan kelengkapan.
Pada peringkat negeri, lapan negeri mencatatkan kadar kapasiti melebihi paras nasional. Labuan mendahului dengan 92.7 peratus, diikuti Terengganu (90.1%), Melaka (87.7%), Negeri Sembilan (85.9%), Johor (85.1%), Pahang (84.6%), Selangor (84.0%) dan Kedah (82.9%). Sebaliknya, Perlis menjadi negeri dengan kadar terendah pada 58.5 peratus.

Selain daripada prestasi kapasiti penggunaan, DOSM turut mengumumkan pencapaian penting Malaysia di peringkat global. Malaysia kini berada di tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory 2024/25, mengatasi 197 negara lain, satu lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 pada penilaian 2022/23. Pencapaian ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam keterbukaan dan kualiti data di peringkat antarabangsa.
Bersempena dengan usaha memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan data dan statistik, kerajaan telah mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”. Malaysia juga akan menyambut Hari Statistik Dunia Keempat pada tarikh yang sama dengan tema “Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone.”
Seiring dengan itu, Jabatan Perangkaan Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 yang berperanan memperkukuh kerjasama statistik dalam pembangunan serantau yang mampan. Melalui platform OpenDOSM NextGen, orang ramai turut berpeluang mengakses katalog data dan visualisasi interaktif bagi menganalisis pelbagai maklumat ekonomi dan sosial secara mudah dan pantas.