Dua ikon muzik dari dua negara serumpun, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Ade Govinda, kembali bersatu dalam sebuah karya romantik yang menyentuh hati bertajuk “Menamakanmu Cinta”. Lagu ini bukan sekadar sebuah kolaborasi, tetapi lambang keakraban dua sahabat seni yang telah lama saling menghormati dan mencipta sejarah bersama.
Menampilkan melodi yang lembut dan lirik yang meresap ke jiwa, Menamakanmu Cinta hadir sebagai single terbaru yang diyakini bakal menjadi siulan baharu bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, malah di seluruh pelosok dunia yang menghargai keindahan muzik cinta. Lagu ini diramalkan menjadi pilihan utama buat pasangan yang ingin mengabadikan rasa cinta mereka dalam bait-bait lagu yang tulus dan mendalam.
Kolaborasi ini mengimbau kembali kerjasama terdahulu mereka dalam album Fragmen (2014) di mana Ade Govinda telah mencipta tiga lagu ikonik untuk Siti Nurhaliza – Terbaik Bagimu, Engkau, dan Tak Pernah Ragu. Kini, mereka kembali menyatu dalam sebuah karya yang lebih dewasa dan penuh emosi.
“Saya sangat gembira dapat kembali bekerjasama dengan Ade. Lagu ini sangat indah dan begitu peribadi dengan gaya ciptaan Ade yang sentiasa segar dan menyentuh perasaan. Semoga para peminat di Malaysia, Indonesia dan seluruh dunia dapat menerima lagu ini dengan hati terbuka,” ujar Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang turut menggambarkan lagu ini sebagai satu penghargaan kepada insan-insan tercinta dalam hidup kita.
Bagi penyanyi tersohor ini, Menamakanmu Cinta bukan sekadar lagu, tetapi sebuah refleksi tentang cinta yang murni dan sejati. Ia menjadi simbol tentang menghargai, mengenang dan menyayangi insan-insan tersayang, tidak kira dalam bentuk hubungan apa sekali pun.

Bagi Ade Govinda, lagu ini dicipta dengan niat yang sangat spesifik sebagai lagu cinta yang sesuai dimainkan di majlis-majlis perkahwinan, mewakili rasa gembira dan keindahan dalam menyatukan dua jiwa. “Proses bekerja dengan Dato’ Sri Siti sangat pantas dan menyeronokkan. Suasana di studio sangat santai tetapi tetap profesional. Saya juga berpeluang untuk meneroka vokal beliau secara lebih mendalam,” kongsi Ade.
Ade turut mendedahkan sisi peribadi Siti yang sentiasa mengambil berat terhadap semua orang di sekelilingnya, termasuk membawa makanan ke studio untuk semua kru. Momen ini, menurutnya, menjadikan kerjasama mereka lebih bermakna dan penuh kenangan manis.
Harapan Ade cukup besar agar Menamakanmu Cinta menjadi lagu tema bagi sesiapa sahaja yang sedang jatuh cinta atau yang ingin menghargai cinta mereka. “Saya harap lagu ini dapat menjadi latar kepada kisah cinta mereka, menemani setiap detik indah yang dilalui bersama. Ia bukan sekadar melodi, tapi ekspresi emosi yang paling jujur,” katanya mengakhiri.
Dengan gabungan suara ikonik Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan kekuatan komposisi Ade Govinda, Menamakanmu Cinta bersedia untuk menjadi lagu cinta abadi yang akan dikenang ramai. Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital utama.