Thu. Nov 28th, 2024

    Bagi terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat Malaysia, sama ada di dalam atau di luar bandar, Shopee memulakan Kempen Jualan Rahmah Shopee hari ini, dengan matlamat memastikan pengguna mendapat nilai terbaik apabila membeli komoditi penting.

    Kempen Shopee ini menyambut seruan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah inisiatif Payung Rahmah yang disasarkan dapat membantu beban rakyat, terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

    Sepanjang tempoh kempen yang berlangsung dari 3 Mac 2023 hingga 30 April 2023, pengguna Shopee dapat menikmati penjimatan sehingga 40% dalam bentuk diskaun dan baucar penghantaran, memeriahkan lagi persiapan dan sambutan Ramadan dan Hari Raya.

    Rakyat Malaysia dapat berbelanja sambil berjimat dengan pelbagai pilihan produk yang berkualiti dan boleh dipercayai melalui tag Harga Terendah Dijamin[1]. Produk yang terpilih merangkumi pelbagai jenis dan kategori termasuk produk runcit, barangan bayi dan anak kecil, peralatan sekolah, produk kesihatan, penjagaan haiwan peliharaan dan bermacam-macam lagi. Kempen ini juga menawarkan baucar diskaun sehingga 25% untuk pengguna yang membuat pembayaran bil utiliti bulanan melalui aplikasi Shopee.

    YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menghadiri majlis pelancaran Kempen Jualan Rahmah Shopee di Ibu Pejabat Shopee Malaysia, yang turut dihadiri bersama Dato’ Rohaizi Zahari, Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, KPDN serta Terence Siau, Pengarah & Ketua Pegawai Operasi Malaysia, Sea Ltd.

    “KPDN amat memahami tekanan yang dilalui oleh rakyat akibat dari peningkatan kos sara hidup yang berpunca dari persekitaran makroekonomi yang mencabar. Kami sangat berbesar hati untuk sekali lagi bekerjasama dengan Shopee, kali ini melalui Kempen Jualan Rahmah Shopee. Sejajar dengan platform inklusiviti, KPDN percaya bahawa rakyat Malaysia dari golongan B40 dan M40 dapat memanfaat dari kempen ini dan dapat membantu menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan,” kata YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

    Kenneth Soh, Ketua Pemasaran di Shopee Malaysia berkata, “Shopee kekal komited menyokong kedua-dua, komuniti dan penjual tempatan. Kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan KPDN untuk turut menyumbang kepada inisiatif Kerajaan melalui Kempen Jualan Rahmah Shopee. Melalui kempen ini, kami berharap dapat membawa lebih nilai kepada pengguna dan dapat memeriahkan lagi persiapan mereka untuk perayaan yang akan datang, Di samping itu, kempen ini juga dapat menggalakkan pengguna untuk berbelanja dan menyumbang kepada penjual tempatan. Shopee akan terus giat melaksanakan lebih banyak kempen dan inisiatif menarik bagi membantu kami menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penjual dan pembeli tempatan.”

    Sebelum ini, Shopee turut bekerjasama dengan KPDN pada tahun 2021 dan 2022 untuk Kempen Beli Barangan Malaysia. Pada tahun 2022 khususnya, kempen ini telah membantu lebih dari 26,000 penjual tempatan yang menawarkan lebih daripada 100,200 produk tempatan melalui platform Shopee.

     

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *