Tue. Aug 5th, 2025

Astro, selaku peneraju kandungan dan hiburan negara, sekali lagi mengangkat bakat tempatan menerusi musim terbaharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025. Menampilkan format yang lebih segar dan inklusif, musim kali ini bakal bersiaran mulai 16 Ogos 2025, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).

Selepas kejayaan penganjuran semula pada tahun 2024, Kilauan Emas 2025 tampil dengan pembaharuan strategik, termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun bagi membuka ruang kepada lebih ramai bakat baharu dalam kalangan generasi otai. Format musim ini turut menambah penglibatan juri awam terdiri daripada wartawan dan pelanggan setia Astro, di samping pendekatan penceritaan yang lebih beremosi, menjadikan Kilauan Emas platform utama untuk para peserta mempamerkan potensi sebenar.

Uji bakat yang berlangsung pada Mei dan Jun lalu di Miri, Johor, dan Shah Alam menerima sambutan luar biasa dengan lebih 500 penyertaan daripada pelbagai latar belakang. Selain kemahiran vokal, peserta turut mempamerkan bakat lain seperti lakonan dan tarian, menonjolkan keunikan serta kepelbagaian yang dibawa ke pentas.

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, “Musim ini menyaksikan penambahbaikan dari segi kriteria penyertaan dan format produksi. Kilauan Emas bukan sekadar program hiburan, tetapi medium untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi bersama.”

Beliau turut menambah, “Kami teruja melihat penyertaan daripada individu yang mempunyai latar seni keluarga, membuktikan minat terhadap seni bukan sahaja kekal, malah diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya. Setiap peserta membawa kisah tersendiri, dan Kilauan Emas kekal menjadi pentas untuk membina keyakinan serta memperkasa golongan otai.”

Musim ini bakal menyaksikan 12 peserta solo berusia antara 43 hingga 65 tahun. Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay. Masing-masing membawa kekuatan tersendiri dalam merebut gelaran juara.

Program ini akan dihoskan oleh personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama, bersama Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas. Barisan juri mengekalkan primadona Malaysia Erra Fazira, digandingkan bersama pelawak Roy Azman dan penyanyi bersuara emas Ning Baizura. Musim kali ini turut memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang bersiaran setiap Sabtu jam 11.30 malam di Astro Prima, serta Keanu Azman dan Sarah Karmila sebagai hos Live+.

Kilauan Emas 2025 turut boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *