Kumpulan rock ikonik Indonesia, KOTAK, bakal meraikan perjalanan seni mereka yang penuh warna selama lebih dua dekad menerusi konsert istimewa Road to 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September 2025. Dikenali dengan semangat perjuangan muzik yang konsisten dan kekuatan persaudaraan bersama para peminatnya yang digelar ‘Kerabat Kotak’, kumpulan yang kini dianggotai oleh Tantri Syalindri Ichlasari, Swasti Sabdastantri (Chua), dan Mario Marcella (Cella) ini membawa nostalgia dan semangat baru dalam satu persembahan yang dijanjikan penuh emosi dan energi. Konsert ini dianjurkan oleh Boomset Planning dan dibawakan khas oleh GemaWave, sebuah platform hiburan yang meraikan suara-suara berpengaruh dari Asia Tenggara.
Lebih istimewa, persembahan kali ini akan menyaksikan kolaborasi eksklusif antara KOTAK dan Arda Hatna, vokalis kumpulan Naff dan suami kepada Tantri sendiri, yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Terendap Laraku, Akhirnya Ku Menemukanmu dan Kau Masih Kekasihku. Arda turut membawa karya solonya seperti Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir, menjadikan konsert ini satu gabungan karya yang mencerminkan sejarah dan cinta, baik secara peribadi mahupun musikal. Menurut Syira Yusof dari Boomset Planning, penganjuran ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu penghormatan kepada era muzik yang membentuk kenangan ramai peminat, serta momen bersejarah yang menggabungkan dua insan seni dalam satu pentas.

Bagi Tantri, konsert ini merupakan sesuatu yang sangat peribadi dan bermakna. Selain meraikan ulang tahun ke-21 KOTAK, ia juga menjadi peluang untuk berkongsi pentas bersama suami tercinta dan memberi penghargaan terus kepada peminat yang setia sejak tahun 2004. “Konsert ini sangat berbeza kerana kami akan membawa semangat yang lebih intim dan mendalam,” ujar Tantri, yang turut menyampaikan ucapan penuh kasih buat peminat: “Ingatan kami kepada kalian tidak pernah ‘Hilang’. Semoga kita saling ‘Selalu Cinta’ dan sampai jumpa di Kuala Lumpur. Long Live Kotak.”
Tiket untuk menyaksikan konsert ini kini boleh didapati melalui laman web www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula dari RM198 (Standing), RM218 (Gold), RM248 (Platinum) hingga ke RM3,888 (Box). Para peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan kerana konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling bermakna pada tahun 2025. Tandakan tarikh — 21 September 2025, dan bersiaplah untuk menjadi sebahagian daripada sejarah KOTAK x Arda Hatna di Kuala Lumpur!
