Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Festival Seni & Sastera Kanak-Kanak 2025 pada 8 dan 9 Oktober 2025 bertempat di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Berinspirasikan tema “Memartabatkan Perpaduan Dalam Sastera Kanak-Kanak”, festival ini menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat perpaduan serta keharmonian dalam kalangan generasi muda melalui dunia seni dan sastera.
Penganjuran festival ini turut menyokong dua inisiatif utama di bawah Kerajaan MADANI, iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kempen Malaysia Membaca di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN). Kedua-dua inisiatif ini menekankan kepentingan bahasa, budaya ilmu, serta nilai kebersamaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.
Menurut YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, kanak-kanak merupakan asas kepada pembinaan Negara Bangsa yang berteraskan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan semangat muhibah. Beliau menegaskan bahawa melalui bahasa dan sastera, nilai-nilai murni dapat dipupuk sejak usia kecil bagi membentuk generasi yang berfikiran terbuka, berjiwa harmoni serta menghargai kepelbagaian budaya bangsa.
Festival ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan berinformasi termasuk sesi ilmu seni dan sastera, pertandingan bercerita, tarian serta deklamasi sajak kanak-kanak. Turut diadakan ialah sesi bercerita bersama pencerita profesional, aktiviti didik hibur, bengkel interaktif dan pameran agensi. Selain mengasah bakat serta kreativiti kanak-kanak, penganjuran ini juga berperanan sebagai medium untuk memupuk interaksi antara kaum dalam suasana ceria dan harmoni.
Dengan penyertaan pelbagai kaum dan penggunaan pelbagai bahasa, Festival Seni & Sastera Kanak-Kanak 2025 mencerminkan semangat perpaduan sebenar rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya dan warisan. ia bukan sekadar meraikan seni dan sastera kanak-kanak, tetapi juga memperkukuh asas keharmonian sosial yang menjadi teras Malaysia MADANI.
