Wed. Jun 18th, 2025

Bila cinta yang dulu pernah mekar kembali mengetuk pintu hati, mampukah ia menjadi penyembuh atau sekadar mengundang luka yang lebih dalam? Drama bersiri terbaharu berjudul Nikmat Hanya Sesaat bersedia mencetuskan kontroversi dan emosi apabila mula ditayangkan di Slot Samarinda TV3 bermula 8 Mei 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam.

Diterbitkan oleh Art Ornament dan diarahkan oleh Izuan Mokhtar dengan skrip nukilan Amin Shakib, drama 20 episod ini menyentuh sisi gelap kehidupan yang jarang dibicarakan secara terbuka – cinta terlarang, penyesalan, dan perjuangan untuk memulakan semula. Kisah ini bukan hanya bermain dengan emosi, malah turut menyentuh isu diskriminasi sosial, tekanan hidup dan keinginan untuk keluar dari belenggu dosa silam.

Menampilkan gandingan pertama kali antara Mawar Rashid dan Fadlan Hazim, Nikmat Hanya Sesaat turut dibintangi oleh Arash Mohamad, Lisdawati, Sherry Ibrahim, Shasha Abedul serta ramai lagi. Kehadiran barisan pelakon berpengalaman ini menjanjikan persembahan lakonan yang penuh intensiti serta babak-babak dramatik yang menyentap jiwa.

Mawar Rashid membawa watak Sara, seorang wanita yang terpaksa menggadai maruah demi kelangsungan hidup keluarganya selepas pemergian ayah tercinta. Terperangkap dalam dunia pelacuran kelas atasan akibat pengaruh Johny (Mutalib Mubin), jiwanya kekal sunyi walaupun dikelilingi kemewahan. Namun, kehadiran semula cinta pertamanya, Zafrul (Fadlan Hazim) – yang kini sudah beristeri – mula menggugat pendiriannya.

Konflik semakin memuncak apabila Sara dihadapkan dengan dilema besar – apakah dia harus mengejar cinta lamanya yang masih berbekas, atau berundur demi mencari ketenangan dan harga diri yang hilang? Tambahan pula, Zafrul tidak mengetahui latar sebenar Sara, menjadikan hubungan mereka semakin rumit dan penuh dugaan.

Mawar Rashid mengakui watak Sara adalah antara cabaran terbesar dalam kerjayanya. “Ia bukan watak biasa. Sara bagaikan simbol realiti pahit sesetengah wanita – berjuang untuk hidup, tetapi dihukum oleh masa lalu. Saya mahu penonton merasai kedukaan dan kekuatan dalaman Sara, bukan sekadar menonton drama,” katanya.

Saksikan Nikmat Hanya Sesaat mulai 8 Mei 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di TV3. Untuk tontonan awal 24 jam sebelum siaran TV, strim secara eksklusif di Tonton melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Ikuti perkembangan lanjut dan kandungan eksklusif menerusi akaun media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @dramasangat di Instagram, Facebook, Twitter dan YouTube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *