Malaysia Esports League 2023 (MEL23) atau Liga E-sukan Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan menemui kemuncaknya apabila acara penutup iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari sejak 21 Oktober, tamat malam tadi. Negeri Selangor telah dinobatkan sebagai Juara MLBB Peringkat Kebangsaan manakala MVP dimenangi oleh pemain dari negeri yang sama. L23 Peringkat Kebangsaan mempertandingkan tiga (3) kategori judul permainan iaitu PUBG Mobile, eFootball Mobile dan MLBB. Pertandingan kategori PUBG Mobile dan eFootball telah pun berlangsung pada 14 dan 15 Oktober lalu juga di ESI Hub.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai Juara PUBG Mobile Peringkat Kebangsaan manakala MVP PUBG Mobile turut dirangkul oleh pemain dari pasukan yang sama. Untuk kategori eFootball Mobile pula, Pahang menjadi juara manakala pemain dari Johor diangkat sebagai MVP.
Berbeza dengan tahun sebelumnya, Finals MEL23 Peringkat Negeri tahun ini dijalankan secara fizikal di lokasi negeri masing-masing dan juara negeri masing-masing juga dapat bertanding secara fizikal semasa di Peringkat Kebangsaan. Tahun ini juga MEL memperkenalkan pingat baru iaitu Most Valuable Player (MVP) untuk semua judul permainan dari Peringkat Negeri, Kebangsaan dan Siri Terbuka.
Keputusan penuh MEL23 Peringkat Kebangsaan adalah seperti berikut:
PUBG Mobile | eFootball | MLBB | |
Juara | WP Kuala Lumpur | Pahang | Selangor |
Naib Juara | Negeri Sembilan | Johor | Pulau Pinang |
Tempat Ketiga | Selangor | Perlis | Putrajaya |
Tempat Keempat | Kedah | Putrajaya | Johor |
Tempat Kelima | Sabah | Perak | Melaka |
MVP | WP Kuala Lumpur | Johor | Selangor |
“MEL23 Peringkat Negeri dan Kebangsaan telah berakhir dengan jayanya. Saya amat gembira melihat bakat-bakat muda dalam kategori-kategori e-sukan yang muncul menerusi platform MEL23, dan persaingan sihat yang mereka bawa untuk membanggakan negeri dan wilayah persekutuan mereka sememangnya amat memberangsangkan. Pertandingan berprestij kebangsaan seperti inilah yang boleh membantu lebih banyak bakat-bakat baru untuk cemerlang dalam dunia e-sukan,” kata Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI).
Seterusnya, MEL23 akan diteruskan lagi dengan Siri Terbuka MEL23 yang akan turut memperkenalkan judul permainan baru seperti eFootball (konsol) dan Counter Strike 2. Siri Terbuka bakal berlangsung seperti berikut:
Jadual Siri Terbuka MEL23 | |
Tarikh Akhir Pendaftaran | 26 Oktober 2023 |
Siri Terbuka – eFootball Console | 3 – 4 November 2023 |
Siri Terbuka – Valorant | 3 – 5 November 2023 |
Siri Terbuka – Counter Strike 2 | 10 – 11 November 2023 |
Bagi kesemua enam (6) judul permainan yang dipertandingkan di MEL23, wang hadiah yang terkumpul adalah berjumlah RM 317,400.00.
MEL23 merupakan sebuah platform persaingan e-sukan yang kompetitif dan inklusif bagi bakat-bakat akar umbi tempatan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Esports Integrated (ESI) bersama-sama dengan 16 Persatuan e-sukan Negeri dan Wilayah Persekutuan, serta disokong oleh susu Goodday (Rakan Minuman Rasmi), Rakan Muda (Rakan Pelaksana) dan disokong oleh Rakita 107.0 serta MPL Malaysia.