Wed. Jun 18th, 2025

Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (GBKL) telah melancarkan program jelajah universiti yang dinamakan ‘Fuel Your Success – One Bite At A Time’. Inisiatif ini bertujuan untuk memberi inspirasi serta motivasi kepada mahasiswa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dalam pelbagai aspek kehidupan kampus. Antara topik utama yang diketengahkan ialah pengurusan masa, pengendalian tekanan, serta kemahiran komunikasi. Program ini turut memperkenalkan rangkaian produk Ready-To-Eat (RTE) Gardenia yang mudah dan sesuai untuk gaya hidup pelajar yang sibuk, sambil disampaikan dalam suasana interaktif dan menyeronokkan yang direka khas untuk generasi muda.

Majlis pelancaran rasmi program ini berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dan telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Hirman bin Awang, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT). Turut hadir ialah Puan Ena Suhaila Abas, Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL), serta selebriti tanah air yang juga pensyarah di UiTM, Najwa Latif. Penampilan Najwa Latif sebagai ikon inspirasi menjadikan program ini lebih dekat dengan hati mahasiswa, memandangkan beliau turut menempuh kehidupan sebagai pelajar dan kini berperanan sebagai pendidik.

Sebagai wajah utama program, Najwa Latif akan menjelajah bersama Gardenia ke 10 universiti di Semenanjung Malaysia. Dalam setiap sesi, beliau akan berkongsi pengalaman peribadi serta strategi praktikal untuk menangani cabaran kehidupan kampus. Jelajah ini disasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih 120,000 orang mahasiswa. Peserta program juga berpeluang menikmati produk RTE Gardenia secara percuma, menerima kupon diskaun eksklusif, serta mendapatkan barangan istimewa daripada Gardenia.

Menurut Puan Ena Suhaila Abas, pihak Gardenia percaya bahawa kejayaan bermula dengan pilihan kecil yang bijak, termasuklah dalam aspek pemakanan seharian. Tambah beliau, matlamat utama program ini bukan sahaja untuk memperkenalkan produk Gardenia RTE yang praktikal dan digemari, tetapi juga bagi menyokong kesejahteraan menyeluruh pelajar – dari segi mental, fizikal dan emosi. Beliau turut berkongsi tentang pelancaran dua produk baharu Gardenia yang bakal ditampilkan dalam variasi rasa berbeza, namun kekal menawarkan keceriaan dan harga yang berpatutan kepada pelanggan.

YBrs. Encik Hirman bin Awang pula menyatakan bahawa pihak Kementerian Pengajian Tinggi amat menghargai inisiatif Gardenia yang proaktif menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah pelajar. Beliau menyambut baik usaha seperti ini yang bukan sahaja menyuntik motivasi akademik tetapi turut memperkasa emosi dan komunikasi pelajar agar lebih bersedia menghadapi dunia sebenar.

Program ‘Fuel Your Success – One Bite At A Time’ telah bermula sejak April lalu dan dijadualkan berakhir pada bulan Ogos 2025. Kandungan utama program adalah sesi dua jam bersama Najwa Latif yang merangkumi perkongsian ilmu serta sesi kuiz spontan dengan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi oleh para pelajar.

Berikut adalah senarai universiti yang terlibat dalam jelajah ini: Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 26 April, Universiti Malaya (UM) pada 17 Mei, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 24 Mei, UiTM Puncak Alam pada 12 Jun, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 21 Jun, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada 5 Julai, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMP) pada 2 Ogos, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 9 Ogos, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 16 Ogos, dan akan berakhir di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur pada 23 Ogos.

Dengan pendekatan yang holistik dan menyeronokkan, program ini diharap dapat membina semangat positif serta memberi dorongan kepada mahasiswa untuk terus maju dalam kehidupan kampus dan masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *