Siapa sangka di sebalik deruman enjin dan jaket kulit, tersembunyi hati yang penuh kasih? Itulah yang ditonjolkan oleh Harley Owners Group Kuala Lumpur Route 77 (HOGKL) apabila mereka tampil menganjurkan sebuah program istimewa sempena tayangan Ejen Ali The Movie 2, khusus buat anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Kasih Murni.
Sebanyak 10 buah motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson menyertai konvoi dari HDKL Route 77 di Jalan Ampang ke GSC Mid Valley Megamall. Konvoi ini bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, tetapi membawa makna besar apabila 50 orang anak yatim diraikan untuk menyaksikan filem animasi tempatan yang sedang hangat di pawagam.
Menurut Presiden HOGKL, Encik Mohamad Wira, program ini adalah sebahagian daripada komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial. “Kami mungkin dilihat garang di jalan raya, tetapi kami percaya setiap insan berhak merasa bahagia. Filem Ejen Ali The Movie 2 bukan sahaja menghiburkan, tetapi penuh mesej positif – sangat sesuai untuk anak-anak dan orang dewasa.”
Ternyata bukan hanya anak-anak yang terhibur, malah ahli HOGKL sendiri teruja dengan jalan cerita dan animasi hebat yang dipaparkan. Ramai mengakui tidak menyangka sebuah filem animasi mampu membuat mereka terpaku dan tersenyum sepanjang tayangan. Filem ini berjaya memecahkan stereotaip bahawa animasi hanyalah untuk kanak-kanak.

Sepanjang program berlangsung, suasana dipenuhi gelak tawa dan keceriaan. Bagi anak-anak dari Pusat Jagaan Kasih Murni, pengalaman ini menjadi satu kenangan manis yang sukar dilupakan. Lebih istimewa, mereka dapat melihat sendiri motosikal Harley dari dekat serta berinteraksi mesra dengan ‘abang-abang biker’ yang ramah dan penyayang.
HOGKL berharap program sebegini dapat diteruskan di masa hadapan bagi memberi lebih banyak impak positif kepada masyarakat. Mereka percaya gabungan elemen hiburan dan kasih sayang mampu menjadi jambatan yang menyatukan komuniti berbeza latar belakang.
Filem Ejen Ali The Movie 2 kini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara dan terus menerima sambutan hangat. Orang ramai digalakkan untuk menonton dan menyokong karya animasi tempatan yang membanggakan ini.
Dengan semangat “Misi Belum Tamat”, Ejen Ali terus melangkah jauh, dan kali ini, bersama gegaran Harley-Davidson yang membawa senyuman kepada mereka yang memerlukan.