Dari Rahim Yang Sama’ Tampil Sarat Emosi, Bongkar Realiti Gelap Kehidupan Anak-Anak Tanpa Pengiktirafan
Saksikan sebuah drama menyayat hati yang bakal meruntun jiwa penonton berjudul ‘Dari Rahim Yang Sama’, mengangkat kisah realiti yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat marhaen. Menelusuri isu identiti, pengorbanan seorang kakak dan harapan untuk mengubah takdir, drama ini menjanjikan naratif penuh nilai kemanusiaan, kasih sayang serta kecekalan menghadapi cabaran hidup. Tayangan perdana akan bermula esok, 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3.
Disutradarai oleh Amor Rizan dan hasil tulisan skrip oleh Naza Manas, drama terbitan Anomali Media ini mengetengahkan tema berat yang dijangka memberikan kesan mendalam kepada penonton. Barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Mhia Firdaus, Rykarl Iskandar, Rafique Iskandar, Angeline Tan dan Kahoe Hon bakal membawa karakter mereka dengan penuh penghayatan dalam setiap babak.
Kisah ini berkisar tentang Balqis (Mhia Firdaus), seorang remaja yang hidup bersama dua adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar) di ibu kota. Walaupun mereka berkongsi ibu yang sama, ketiga-tiga beradik ini tidak pernah didaftarkan kelahirannya, menjadikan mereka warganegara tanpa identiti dan dinafikan akses kepada pendidikan serta hak hidup yang sewajarnya.
Ibu mereka, Suraya (Nabila Huda), adalah seorang wanita yang mencari rezeki sebagai GRO dan sering bertukar pasangan. Beliau langsung tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ibu, malah sering mempergunakan Balqis untuk menguruskan rumahtangga dan menjaga adik-adik. Balqis yang masih muda terpaksa memikul beban yang terlalu berat demi menjaga keluarganya.
Namun perjuangan Balqis untuk mendapatkan pengiktirafan dan kehidupan lebih baik tidak mudah. Segalanya menjadi lebih rumit apabila Suraya sendiri mengaku bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan kelahiran anak-anaknya kerana takut kehilangan mereka. Apakah sinar kebahagiaan akan muncul dalam hidup Balqis dan adik-adiknya, atau derita mereka akan terus berpanjangan?
Dari Rahim Yang Sama bukan sekadar sebuah naskhah drama, tetapi juga suara bagi anak-anak yang terpinggir dan tidak berpeluang bersuara. Ia membuka mata penonton terhadap isu sosial yang jarang diketengahkan – antaranya kecuaian ibu bapa dan status anak-anak tanpa dokumentasi rasmi.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan drama yang menyentuh jiwa ini bermula esok di TV3 menerusi slot Samarinda pada jam 10.00 malam. Untuk tontonan lebih awal, penonton boleh menonton 24 jam lebih awal secara eksklusif di platform Tonton.
Ikuti segala perkembangan dan info terkini menerusi media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram di @TV3Malaysia serta Instagram Drama Sangat di @dramasangat.