Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) tampil menyuarakan pendirian tegas berhubung isu penyalahgunaan nama dan jenama kumpulan rock legenda tempatan, “XPDC”, oleh pihak tertentu yang tidak memiliki sebarang kebenaran rasmi. Tindakan ini dipercayai dilakukan dalam bentuk promosi, persembahan terbuka serta penampilan komersial, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat dan penganjur acara, di samping mencalar integriti industri muzik tanah air.
Nama dan logo “XPDC” bukan sekadar simbol muzik rock, tetapi merupakan tanda dagangan berdaftar yang dimiliki secara eksklusif oleh Life Records. Jenama ini bukan sahaja dilindungi di bawah akta cap dagangan, malah memiliki nilai komersial dan reputasi yang telah dibina sejak awal 1990-an, menjadikannya antara kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.
Sehingga kini, hanya dua kumpulan yang menerima kebenaran rasmi dan bertulis daripada Life Records untuk menggunakan nama “XPDC”, iaitu XPDC (Kita Pengyu) dan XPDC (Militia). Kedua-dua kumpulan ini terdiri daripada anggota asal yang bernaung secara sah di bawah label berkenaan.
Namun, KARYAWAN menerima maklumat mengenai kewujudan sebuah kumpulan yang memperkenalkan diri sebagai “Real XPDC”. Mereka dikesan aktif menjalankan persembahan, mempromosikan konsert dan menggunakan nama “XPDC” secara terbuka dalam pelbagai bahan promosi, tanpa sebarang kebenaran atau pengesahan daripada pemilik hak. Penggunaan istilah “Real” tidak mengubah hakikat bahawa nama “XPDC” tetap menjadi tarikan utama dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai, seolah-olah kumpulan tersebut mewakili entiti asal.

Dari sudut perundangan, perbuatan ini berpotensi melanggar hak cap dagangan yang sah, dan membuka ruang kepada tindakan undang-undang. KARYAWAN memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa perlindungan terhadap jenama seni harus dipelihara demi menjamin kredibiliti dan kelangsungan industri.
Walaupun KARYAWAN tidak menolak kewujudan kumpulan tribute sebagai salah satu bentuk penghargaan dalam dunia hiburan, pelaksanaannya mestilah mengikut garis panduan etika dan tidak mengelirukan masyarakat. Jika benar bertujuan memberi penghormatan, penggunaan nama alternatif yang tidak menimbulkan kekeliruan serta menjalin hubungan baik dengan pemilik asal wajar dijadikan asas moral dan profesionalisme.
Sehubungan itu, KARYAWAN akan merujuk isu ini kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) bagi menyemak status pendaftaran nama “Real XPDC”. Jika didapati berlaku pertindihan kelas atau pelanggaran hak dagangan, KARYAWAN akan menyokong tindakan undang-undang demi melindungi hak pemilik asal.
KARYAWAN turut menyeru semua penggiat seni, penganjur dan peminat agar bersama-sama memelihara hak harta intelek serta menghormati legasi seni yang telah lama terbinanya. Kepatuhan terhadap undang-undang dan etika adalah asas penting dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap industri muzik dan hiburan tempatan.