Tue. Aug 19th, 2025

Sektor Perkhidmatan negara terus menunjukkan prestasi positif apabila meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, dengan nilai hasil mencecah RM641.4 bilion. Perangkaan ini diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Perangkaan Perkhidmatan Suku Tahunan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan kukuh ini disokong oleh prestasi positif semua segmen, mencerminkan kestabilan permintaan domestik dan peranan sektor perkhidmatan sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman serta Penginapan merekodkan hasil RM484.0 bilion, meningkat 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Peningkatan ini dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang tinggi berikutan cuti umum, perayaan, cuti sekolah serta ketibaan pelancong antarabangsa.

Segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan pula meningkat 6.0 peratus kepada RM89.4 bilion. Sub-sektor pengangkutan mencatatkan pertumbuhan 9.0 peratus, dengan lonjakan ketara dalam pergerakan penumpang udara (+10.3%). Permintaan terhadap perkhidmatan logistik, penggudangan, pos dan kurier juga terus meningkat.

Segmen Perkhidmatan Profesional, Hartanah dan Pentadbiran & Khidmat Sokongan berkembang 9.9 peratus, dipacu oleh aktiviti pembangunan infrastruktur, projek perumahan serta peningkatan ketibaan pelancong yang merangsang industri pelancongan dan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan & pameran).

Sementara itu, segmen Kesihatan Swasta, Pendidikan Swasta, Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Perkhidmatan Persendirian meningkat 12.8 peratus. Peningkatan ini didorong oleh kesedaran yang lebih tinggi terhadap kesihatan, pendidikan dan kualiti hidup, selain kecenderungan berbelanja untuk riadah dan penjagaan diri.

Secara suku tahunan, hasil sektor perkhidmatan meningkat 1.8 peratus berbanding suku pertama 2025. Hasil e-Dagang turut mencatatkan pertumbuhan 1.1 peratus tahun ke tahun kepada RM313.8 bilion, disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Jumlah guna tenaga sektor ini meningkat 2.1 peratus kepada 4.6 juta orang, manakala jumlah gaji dan upah naik 4.2 peratus kepada RM34.0 bilion. Kenaikan ini selari dengan peningkatan aktiviti ekonomi, khususnya dalam subsektor perdagangan borong & runcit serta pengangkutan & penyimpanan.

Pada tahun ini, DOSM mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) bagi memperkukuh kerjasama serantau. Malaysia turut mencatat pencapaian global apabila menduduki tempat pertama dunia dalam Indeks Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 sebelum ini.

Kerajaan menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan”. Hari Statistik Dunia Keempat pula akan disambut pada tarikh sama dengan tema “Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone”.

Orang ramai boleh mengakses data dan visualisasi statistik terkini melalui portal OpenDOSM NextGen di https://open.dosm.gov.my.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *