Sat. Jul 12th, 2025

Kota bersejarah Melaka bakal menjadi saksi kepada sebuah malam yang sarat emosi dan penuh makna apabila Perayaan Patahati Universe berlangsung pada 23 Ogos ini di Panggung Bangsawan Melaka. Konsert sulung yang menjadikan muzik sebagai medium penyembuhan ini menampilkan Noh Salleh dan Insomniacks sebagai teraju utama, membawa tema “Himpunan Warga Patahati” dalam usaha mengetengahkan isu kesihatan mental dan emosi melalui persembahan seni.

Menurut Pengarah Projek, Cassandra, persembahan ini dirangka sebagai pelukan hangat buat hati-hati yang pernah retak, namun masih berharap untuk sembuh. “Isu kesihatan mental bukan lagi sesuatu yang tabu. Kami ingin menjadikan konsert ini sebagai ruang selamat untuk mereka yang mencari makna, ketenangan, dan kekuatan dalam irama serta lirik. Perayaan Patahati Universe bukan sekadar hiburan, ia adalah terapi jiwa,” katanya.

Selama hampir tiga jam, penonton bakal dibawa mengembara dalam perjalanan puitis yang disulami 25 lagu galau dan healing. Selain Noh Salleh dan Insomniacks, pentas juga akan digamatkan oleh band Cherpen dan Kucaimars, dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi muda berbakat, Rijeu. Gabungan barisan pemuzik ini dijangka mampu merangkul hati penonton dari pelbagai lapisan, khususnya golongan muda.

Lokasi pilihan, Panggung Bangsawan Melaka, menambah nilai sejarah dan sentimental kepada acara ini. Terletak di zon buffer UNESCO, bangunan yang dahulunya panggung wayang Cathay kini berwajah baharu sebagai hab persembahan seni hasil transformasi oleh Perbadanan Melaka (MCorp) pada tahun 2024. Dengan kapasiti 1,500 tempat duduk, ia memberi peluang kepada lebih ramai warga ‘patahati’ untuk berhimpun dan menyembuh bersama.

Tiket konsert kini dijual di laman web rasmi ilassotickets.com dengan tiga kategori menarik: Patahati (Berdiri – RM109), Jatuhati (Duduk – RM129) dan Luluhati (Duduk – RM159). Tawaran khas juga disediakan untuk pasangan pada harga RM196 sahaja. Panggung Bangsawan dan Tourism Melaka tampil sebagai rakan strategik utama konsert ini, manakala publisiti dikendalikan oleh Mewah Event Management.

Menariknya, konsert ini turut diselitkan dengan tayangan drama pendek serta audio motivasi oleh pempengaruh TikTok, Fiq Sam, yang kini makin dikenali dengan pesanan positif dan penuh inspirasi. Elemen-elemen ini dijangka menjadikan persembahan lebih mendalam, bukan hanya di telinga tetapi terus ke jiwa.

Sebagai bonus istimewa, pihak penganjur turut mengadakan Sambutan Hari Lahir Warga Patahati Universe khusus buat penonton yang lahir pada 23 Ogos. Acara ini bakal menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar Patahati Universe, mencipta detik yang lebih peribadi dan penuh makna.

Dengan mesej utama bahawa setiap luka bukan pengakhiran, Perayaan Patahati Universe muncul sebagai simbol harapan dan kekuatan baharu. Ia bukan sekadar konsert, tetapi satu perayaan emosi yang menghubungkan hati-hati yang pernah terluka, kini bersatu untuk sembuh bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *