Penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, mengajak selebriti muda Malaysia supaya tidak hanya bersandarkan kepada dunia hiburan semata-mata, sebaliknya merancang masa depan dengan menceburi bidang keusahawanan ketika nama mereka masih berada di puncak populariti. Menurut beliau, industri hiburan adalah bidang yang penuh ketidaktentuan dan boleh berubah pada bila-bila masa, justeru golongan artis perlu bijak memanfaatkan pengaruh serta populariti yang dimiliki untuk membina jenama peribadi dan perniagaan yang kukuh.
Dato’ Khadijah yang juga Pengerusi Persatuan Karyawan menegaskan, ilmu asas perniagaan adalah kunci utama dalam memastikan kelangsungan kerjaya selepas dunia hiburan tidak lagi menjadi tumpuan. Beliau menasihatkan artis muda supaya tidak hanya menjadi wajah produk, sebaliknya turun padang memahami aspek pemasaran, pengurusan dan pengeluaran agar tidak mudah dipergunakan oleh pihak lain. Berkongsi pengalaman peribadi, Dato’ Khadijah menceritakan bagaimana beliau beralih daripada dunia nyanyian kepada bidang perniagaan dengan menubuhkan syarikat makanan sendiri, termasuk jenama terkenal Sos Cili Ibu yang kini mendapat sambutan bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Beliau memulakan perniagaan tersebut dengan menghasilkan produk yang dekat di hati rakyat Malaysia iaitu sos cili asli buatan tempatan. Menyedari minat masyarakat terhadap makanan pedas, beliau menghasilkan Sos Cili Ibu yang kini dikenali sebagai salah satu produk tempatan berkualiti. Baru-baru ini, Dato’ Khadijah tampil di Singapore Expo, Level 5, Selangor Hall bersempena Malaysia Fest 2025 yang berlangsung dari 31 Julai hingga 3 Ogos bagi mempromosikan produknya ke pasaran antarabangsa. Kehadirannya disambut meriah oleh peminat di Singapura dan pelancong asing, selain turut disertai barisan artis popular seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Ifa Raziah, Zaiton Sameon, Jasmin Hamid dan ramai lagi.
Beliau mengakui berasa terharu dengan sambutan yang diterima kerana ramai pengunjung bukan sahaja datang membeli sos, malah ingin bergambar dan berkongsi kenangan ketika zaman kegemilangan muziknya. Dato’ Khadijah berharap penglibatannya dalam Malaysia Fest dapat memperluaskan pasaran Sos Cili Ibu di luar negara dan memberi inspirasi kepada lebih ramai artis untuk berani menceburi bidang keusahawanan. Baginya, peluang dalam perniagaan adalah luas bagi mereka yang berani mencuba, dan rezeki akan datang kepada mereka yang berusaha membinanya.