Mon. Dec 29th, 2025
Projek Bangkit - Bangkitkan Potensi, Cipta LegasiProjek Bangkit - Bangkitkan Potensi, Cipta Legasi

TV AlHijrah terus mengangkat semangat keusahawanan dan ketabahan rakyat melalui tayangan Projek Bangkit Episod 2 pada Sabtu, 25 Oktober 2025. Program realiti inspirasi ini memaparkan kisah perjuangan tiga usahawan asnaf — Mohd Asib Ismail Gany (Burger Asib), Kharudin Harun (Kraftangan Kayu) dan Nurul Asyikin Mohammad (Premium Cookies) — yang berjaya membuktikan bahawa bimbingan, ilmu dan keyakinan diri mampu membuka jalan ke arah kejayaan. Diterbitkan dengan kerjasama strategik antara MAIWP dan TV AlHijrah, Projek Bangkit mengetengahkan kisah benar perjuangan usahawan kecil di seluruh Malaysia yang tidak pernah berputus asa walaupun berdepan kekangan modal dan cabaran ekonomi, dengan matlamat memperkukuh daya tahan ekonomi umat menerusi nilai-nilai keusahawanan Islam.

Episod kedua ini menampilkan persaingan yang lebih mencabar apabila ketiga-tiga peserta dinilai oleh juri berpengalaman terdiri daripada Dato’ Rosyam Nor, Ajak Shiro, dan Talmizi Md Nor, wakil usahawan berjaya dari MAIWP, manakala Amin Idris bertindak sebagai hos yang menyatukan semangat dan inspirasi sepanjang rancangan berlangsung. Menutup tirai minggu kedua, Nurul Asyikin Mohammad diumumkan sebagai pemenang mingguan selepas menampilkan strategi pemasaran yang kreatif dan inovasi produk Cocokins, sekali gus memperlihatkan potensi besar untuk menembusi pasaran lebih luas.

Menurut Zulkarnaen Mokhtar, Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, episod kali ini membuktikan bahawa keikhlasan dan kesungguhan mampu menukar titik kelemahan menjadi kekuatan baharu. “Setiap peserta membawa kisah perjuangan yang berbeza, namun semuanya membuktikan bahawa ilmu, peluang dan semangat mampu membuka jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa Projek Bangkit bukan sekadar platform perniagaan, tetapi juga ruang membina jati diri dan keyakinan. “Kami mahu peserta keluar dari zon selesa dan memahami erti sebenar berdikari. Apabila mereka belajar merancang, berkomunikasi dan memasarkan produk sendiri, di situlah bermulanya kebangkitan sebenar,” tambahnya.

Disiarkan setiap Sabtu, jam 9.00 malam di TV AlHijrah, Projek Bangkit merupakan inisiatif realiti TV yang membimbing peserta asnaf secara praktikal — daripada latihan asas perniagaan hingga cabaran dunia sebenar. Episod kedua ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada para peserta, tetapi turut menyentuh hati penonton bahawa setiap insan berhak untuk bermula semula dengan usaha, bimbingan dan niat yang tulus. Penonton boleh menonton semula episod penuh melalui YouTube TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus, serta mengikuti perkembangan peserta di platform media sosial rasmi TV AlHijrah. Projek Bangkit bukan sekadar rancangan televisyen, tetapi sebuah gerakan perubahan yang membuka mata masyarakat bahawa golongan asnaf bukan lemah, sebaliknya wira yang sedang berjuang untuk berdiri megah atas usaha dan keyakinan sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *